Saturday, February 11, 2012

Biarkan Dia Menangis.....(4) - Tamat

AMARAN: Kesinambungan Biarkan Dia Menangis kali ini lebih panjang dari bahagian-bahagian terdahulu. Harap anda sabar membaca hingga ke noktah terakhir. :-)

Biarkan Dia Menangis.....(1)
Biarkan Dia Menangis.....(2)
Biarkan Dia Menangis.....(3)



“Abang, kita nak tanam kat mana uri ni?”, soal Jasmin kepada Irsyad sejurus sahaja doktor menyerahkan bungkusan plastik yang berisi uri itu.

“Tanam dekat kawasan rumah kita je la yer sayang? Bila dah besar nanti, takdelah dia suka merayap keluar, biar dia duduk kat rumah jer”, balas Irsyad.

“Okey, Min ikut je Bang, Min tak kisah nak tanam kat mana-mana pun. Nanti, Abang balik rumah, Abang terus tanam yer”, pinta Jasmin.

“Okey sayang,” balas Irsyad ringkas.

Irsyad mengerling jam di dinding wad, jarum jam menunjukkan ke angka 1.15 pagi. Sungguh leka dia menemani Jasmin dan Izzah sehingga dia tak perasan waktu berlalu. Irsyad pulang lewat ke rumah dan terpaksa dia meredah embun pagi memandu pulang dalam kesunyian dinihari.

“Esok je lah aku tanam uri ni, mengantuk sangat dah ni.” Irsyad bermonolog sendiri sambil meletakkan bungkusan plastik berisi uri tersebut ke dalam peti ais.

********************

Jasmin dan si comel Izzah dibenarkan pulang tengahari itu. Selepas mendapat panggilan dari Jasmin bahawa dia akan pulang, Irsyad bergegas menjemput Jasmin di hospital dan tiba di rumah sekitar 3.30 petang.

“Abang dah tanam uri yang Abang bawak balik semalam?” soal Jasmin sambil mendukung dan mendodoikan Izzah yang sedang menangis.

“Aduh! Abang terlupa la Sayang! Sekarang jugak Abang tanam”, balas Irsyad sambil meluru ke dapur.

“Eh, kan hujan kat luar tu Bang,”

“Ala, gerimis je. Nanti kalau tangguh-tangguh, Abang takut Abang terlupa lagi”, ujar Irsyad sambil memegang bungkusan plastik yang berisi tembuni itu bersama-sama sebuah cangkul.

********************

Senyum tawa dan tangisan Izzah seakan menjadi ‘penawar’ kepada kedukaan Jasmin dan Irsyad selama ini. Sudah 9 tahun mereka hidup berdua, tapi kini telah bertiga. Mereka sudah dapat apa yang mereka harapkan selama ini, dan tiada duka yang akan menyelubungi hidup mereka berdua lagi.

Tiga minggu berlalu, pelbagai pengalaman baru mereka lalui. Bergilir-gilir mereka menjaga Izzah sekiranya dia meragam di tengah malam sampaikan mereka tidak cukup tidur. Mereka bahagia, tidak terasa terbeban sedikitpun dengan masalah itu. Tapi, ada satu hal yang merungsingkan Jasmin & Irsyad. Izzah kerap mengerang pada waktu malam. Izzah tidak menangis mahupun terjaga dari tidur, tapi dia mengerang dengan kuat sekali. Sangat menakutkan, seakan ada sesuatu yang menghimpitnya. Bukannya sekali dua, tapi dah lebih 6-7 hari Izzah berkelakuan begitu.

Irsyad nekad untuk bertemu dengan Tok Daik sekali lagi. Dia yakin Tok Daik akan membantunya sepertimana dia membantu menyelesaikan segala masalah-masalahnya dulu.

Terkumat-kamit mulut Tok Daik membaca mantera sambil melihat ke dalam mangkuk berisi air jernih. Hembusan angin begitu kuat menerpa ke arahnya tetapi dia tetap teguh menghabiskan beberapa rangkap jampi serapah. Tidak lama kemudian, Tok Daik bersuara. Katanya, ada masalah dengan uri bayinya. Uri Izzah yang ditanam Irsyad itu ‘ketat dan padat’.

“Semasa kau menanam uri tu, kau ada tekan tanahnya yang basah tu kan?”, duga Tok Daik.

“Betul Tok. Salah saya. Apa patut saya lakukan sekarang Tok?”, balas Irsyad terketar-ketar.

“Tak susah, kau hanya perlu gali balik uri itu dan tanam ia elok-elok. Pastikan tanahnya jangan terlalu padat”, pesan Tok Daik.

“Baiklah, saya akan buat pesan Tok itu”, balas Irsyad sambil meminta diri untuk pulang.


********************

“Buat apa dengan cangkul semua tu Irsyad oii, nak tanam pokok ke?”, sapa Hanif ramah. Hanif merupakan jiran belakang rumah mereka. Memang seorang yang peramah dan kuat mengusik.

“Aku nak tanam balik uri anak aku ni, dukun cakap uri anak aku ni ketat sangat, sebab tu la dia selalu duk mengerang tengah-tengah malam tu,” jawab Irsyad.

Hanif hanya memerhatikan sahaja Irsyad menggali lubang bagi menanam uri tersebut. Selepas selesai membuat lubang, Irsyad meletakkan uri yang dibalut dengan kain putih itu bersama-sama dengan sebatang pensil dan buku lalu ditimbusnya.

“Eh, kenapa ada pensil dengan buku tu?” tanya Hanif kehairanan.

“Yelah, kalau aku tanam uri Izzah ni sekali dengan pensil dan buku, moga-moga cerdik la bila dah besar nanti. Boleh belajar sampai oversea”, jawab Irsyad sambil memasang angan-angan.

“Lah…macam tu pulak? Kenapa tak tanam sekali dengan komputer? Boleh jadi pakar IT anak kau nanti!”, ujar Hanif seakan memerli. Dia tidak sangka, kepercayaan khurafat seperti itu masih wujud di zaman millenium dan di kawasan metropolitan seperti ini.

Irsyad hanya tersengih mendengar perlian jirannya itu. “Aku masuk dulu, cuaca pun dah gelap ni”, ujar Irsyad.

“Macam mana Bang? Dah siap tanam urinya?” tanya Jasmin sambil mendodoikan Izzah.

“Sudah Sayang. Abang tanam dekat bawah pokok belakang rumah kita. Moga anak kita akan jadi seorang yang tenang, cepat sejuk dan pemalu orangnya”, balas Irsyad sambil mencium pipi Izzah yang tembam itu.

********************

Genap sebulan usia Izzah, Irsyad dan Jasmin mengadakan kenduri akikah, doa selamat bersama-sama dengan majlis cukur jambul di rumahnya. Kenduri ini merupakan sebahagian dari nazarnya dulu. Dia juga sudah mendermakan RM 3000 di rumah anak-anak yatim berhampiran rumahnya.

Izzah dipakaikan dengan pakaian cantik berona merah jambu dan didukung oleh Irsyad lalu dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Izzah ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin yang dijemput bergilir-gilir menggunting sedikit rambut Izzah dan dimasukkan ke dalam kelapa muda yang dipotong bahagian kepalanya . Tujuh orang tetamu telah menggunting rambut Izzah termasuklah bapa Irsyad, bapa Jasmin, adik-adiknya dan jiran-jiran lain. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala Izzah dicukur sepenuhnya oleh ibu Irsyad. Kesemua rambut yang dicukur itu dimasukkan ke dalam kelapa muda lalu kelapa tersebut di tanam di halaman rumahnya bersama sepohon anak kelapa sebagai memperingati masa Izzah dilahirkan.

********************

Setahun telah berlalu, Izzah sudah pandai berjalan. Begitu lincah Izzah setelah ‘mendapat kaki’. Tidak menang tangan ibunya menjaganya. Ada sahaja barang yang mampu dicapainya, akan digigitnya. Tapi Jasmin segera mengambil barang yang dicapai Izzah itu lalu menyorokkannya. Jasmin takut sekiranya terjadi apa-apa yang tidak elok kepada puteri tunggalnya itu. Sejak dari Izzah mula merangkak lagi, Jasmin terlalu melindungi Izzah dengan sentiasa mendukungnya. Dia tidak membenarkan Izzah merangkak-rangkak meneroka persekitarannya. Dia tidak mahu Izzah mengalami kecelakaan hanya dari permainannya sendiri. Jasmin terlalu melindungi dan menyekat kebebasan Izzah meneroka dunianya.

Sesampai di rumah, Irsyad mencadangkan untuk membuat upacara jejak tanah memandangkan Izzah telah pandai berjalan. Jasmin hanya akur dengan cadangan suaminya. Pada hujung minggunya, mereka sekeluarga pulang ke kampung halaman Irsyad di Perak bagi membuat kenduri doa selamat sekaligus mengiringi upacara jejak tanah itu. Setelah kenduri tersebut selesai, Irsyad membentangkan tikar hadapan tangga rumah ibu bapanya itu supaya menjadi alas bagi Izzah berjalan. Di atas tikar itu, telah Irsyad sediakan lima dulang yang setiap satunya berisi cermin, gunting, jam tangan, cincin serta wang. Izzah dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

Irsyad, seorang pelajar lulusan universiti tempatan yang merupakan eksekutif di salah sebuah syarikat perkapalan masih berpegang teguh kepada adat-adat kepercayaan Melayu. Dia tidak sedar, ada di antara adat yang diamalkannya itu sangat bercanggah dengan hukum Islam.

Berpandukan syariat Islam, istilah cukur jambul dan jejak tanah sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada masyarakat India yang beragama Hindu

Tapi, Irsyad percaya, adat yang dia lakukan ini adalah untuk meramal masa depan seorang kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat pijak tanah itu diteruskan dengan memijakkan kaki Izzah ke piring-piring kecil berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan dari kampungnya. Seterusnya, setelah habis membaca jampi, Izzah dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.

********************

"Taknak! Nak baju askar! Tak nak baju ni", rengek Izzah apabila Jasmin ingin membelikan gaun berwarna putih kepadanya.

"Izzah kan perempuan. Budak perempuan kena pakai baju macam ni, baru lah cantik macam puteri”, pujuk Jasmin.

“Taknak! Nak baju askar jugak!!”

Jasmin tewas. Jasmin terlalu sayangkan Izzah dan selalu mendengar kata Izzah sehingga Jasmin menjadi serba salah dan akhirnya perlu akur setiap permintaan Izzah. Izzah hanya mahu Irsyad dan Jasmin mengikut katanya sahaja. Dulu, dia akan menangis kalau apa yang dia pinta tidak ditunaikan. Tapi semenjak boleh bercakap, dia hanya tahu memerintah sahaja. Kalau dia mahu susu, jangan la sesekali Jasmin kata ‘tunggu kejap’, memang nahas jadinya. Dia akan memberontak dengan membaling barang-barang di sekitarnya. Ada satu hari, Izzah membaling pasu yang berada di atas meja kepadanya. Hampir sahaja terkena muka Jasmin, mujurlah dia sempat mengelak. Jasmin tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Dia tidak berani memarahi atau memukul anaknya itu kerana hanya Izzah satu-satunya anak yang dia ada.

“Ibu! Ija nak ball! Ija nak ball tu!”, rengek Izzah sambil menarik-narik lengan baju kurung yang dipakai Jasmin itu.

Lamunan Jasmin terhenti dengan rengekan Izzah sebentar tadi.

“Izzah kan perempuan. Perempuan mana boleh main ball, perempuan kena main doll”, Jasmin cuba memujuk walaupun dia tahu, dia mungkin tertewas lagi kali ni.

Izzah memulakan tunjuk perasaan. Dia terguling-guling di lantai Pasaraya Giant tersebut sambil menghentak-hentakkan kakinya. “Ija nak bola jugak! Ija nak bola tuuu!”.

“Izzah sayang, jangan lah macam ni. Malu orang tengok, Sayang. Izzah tak boleh main ball, ini permainan budak lelaki”, pujuk Jasmin sambil cuba mengambil Izzah yang sedang tergolek-golek di lantai.

Pujukan si ibu tidak diendahkan. Geram ‘tunjuk perasaannya’ tidak dipedulikan oleh Jasmin, Izzah kemudian menggigit dan menarik tudung ibunya berulang kali. Hilang sabar dengan kerenah Izzah yang agak keterlaluan, akhirnya Jasmin memukul punggung si comel.

“Jasmin! Kenapa pukul Izzah macam tu? Kenapa dengan Min ni? Dah hilang akal ke?”, bentak Irsyad yang kebetulan baru masuk ke dalam Pasaraya itu setelah memakir keretanya. Irsyad menurunkan Jasmin dan Izzah di hadapan Pasaraya dulu sebelum mencari tempat untuk memakir keretanya.

“Err..maafkan Min, bang. Min tak sengaja. Ini semua di luar kawalan Min”, jawab Jasmin perlahan.

“Ayah..Ija tatot. Ibu babab Ija”, ujar Izzah pelat sambil memeluk kaki Irsyad.

“Jangan takut ye, Sayang. Ayah kan ada”, balas Irsyad sambil mendukung anaknya yang berusia 3 tahun setengah itu.

“Ayah, Ija nak bola tu. Ija nak main bola tu!”. Izzah cuba meminta kepada ayahnya dengan harapan ayahnya menunaikan permintaannya seperti selalu. Tapi kali ini, airmatanya sudah mula menitis.

“Izzah nak main bola? Izzah kan perempuan. Tapi takpelah, ayah belikan Izzah bola ni! Jangan menangis lagi ye?”, balas Irsyad sambil mengambil bola tersebut lalu memberikannya kepada Izzah.

“Yeah! Cayang Ayah!”, sorak Izzah gembira sambil menjeling tajam kepada ibunya.

********************

“PRANGGG!!!”

Bunyi kaca pecah itu mengejutkan Jasmin yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Dia segera meluru keluar rumah.

“Ya Allah! Apa Izzah dah buat ni?" Jasmin terkejut melihat serpihan kaca cermin kereta suaminya berselerakan di lantai garaj rumahnya. Kelihatan Izzah sedang berdiri kaku di satu sudut.

“Apa yang terjerit-jerit ni, Jasmin?” soal Irsyad yang baru keluar dari bilik, lalu menuju keluar rumah.

Tiba-tiba, Irsyad terpandang serpihan kaca yang bertaburan di lantai. “Ya Allah! Kereta aku!”.

Izzah kelihatan seperti tidak bersalah. Langsung dia tidak mengaku kesalahannya, walhal dia sendiri telah membaling bola yang baru dibeli itu ke arah kereta Irsyad.

“Izzah pecahkan kereta ayah ye?” soal Irsyad.

“Tak. Ija tak buat. Ibu yang buat”. Izzah sudah pandai menipu, dan tidak semena-mena telah menuduh Jasmin yang melakukan.

“Emm, takpelah. Izzah masuk dalam. Biar ayah dengan ibu sapu kaca ni. Izzah main elok-elok kat dalam ye!”, ujar Irsyad sambil menyuruh puteri kesayangannya masuk ke dalam rumah.

“Bang, anak kita dah pandai menipu. Apa patut kita buat sekarang ni, bang?” tanya Jasmin kerisauan.

“Abang rasa, ada sesuatu yang tak kena kat anak kita ni. Mungkin ada ‘sesuatu’ yang ganggu dia ni. Kalau tak, takkan lah perwatakan dia sangat berlawanan dengan asal kejadian dia. Dia kan perempuan, seharusnya dia lembut, macam Sayang. Tapi Abang tengok sebaliknya. Dia tak suka pakai pakaian perempuan, sukakan permainan budak lelaki, kuat mengamuk”. Irsyad membuat tafsiran sendiri berdasarkan pemerhatiannya terhadap sikap kasar Izzah.

“Min pun rasa macam tu jugak lah Bang. Risau la Min macam ni. Min takut apa-apa yang buruk jadi kat dia. Izzah je lah satu-satunya anak kita”. Terdapat riak kerisauan pada wajah Jasmin.

“Esok kita bawak Izzah jumpa Tok Daik. Mungkin dia boleh halau ‘benda’ yang menumpang kat tubuh anak kita tu”.

“Min ikutkan je bang. Yang penting, anak kita selamat”, balas Jasmin.

********************

Pagi esoknya, mereka bersiap-siap untuk ke rumah Tok Daik. Pada mulanya Izzah enggan, tapi setelah dipujuk untuk membelikan senapang plastik untuknya, dia akhirnya setuju. Oleh kerana kereta milik Irsyad masih di dalam bengkel kerana cermin keretanya dipecahkan semalam, Irsyad memandu Proton Gen-2 milik Jasmin ke rumah Tok Daik.

Sudah lebih tiga tahun mereka tidak pergi ke rumah Tok Daik, tapi mereka masih ingat jalan ke sana. Apabila sampai ke rumah Tok Daik, mereka tercengang melihat disitu cuma ada sebuah rumah tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Irsyad kemudian pergi bertanya dengan peniaga kedai runcit yang berhampiran rumah Tok Daik itu. Apa yang lebih mengejutkan, peniaga itu memberitahu bahawa sudah bertahun-tahun rumah itu kosong. Tuan rumah itu, Tok Daik telah meninggal dunia lima tahun lalu dan tidak meninggalkan waris. Irsyad dan Jasmin berpandangan sesama sendiri. Muka mereka pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah. Seakan tidak percaya apa yang didengarnya tapi keadaan usang rumah Tok Daik itu membuktikan segalanya.

Irsyad memandu kereta meninggalkan perkarangan rumah Tok Daik . Perdu hatinya bagaikan bergayut dengan sebeban debaran. “Kalau Tok Daik sudah lama meninggal, siapa yang aku jumpa selama ini?” “Dengan siapakah aku mintak tolong selama ini kalau Tok Daik telah mati?”. Berulang-ulang kali pertanyaan ini timbul dalam otaknya.

********************

Izzah semakin diluar kawalan. Izzah semakin nakal dan buas. Pernah Izzah menghentakkan cawan ke atas kepala sepupunya sehingga berdarah kepala sepupunya itu. Tapi, Irsyad tidak mampu untuk memarahi Izzah dan hanya mampu meminta maaf kepada kakaknya atas perbuatan Izzah terhadap anaknya. Dia sudah bernazar yang dia tidak akan sesekali memarahi dan memukul Izzah. Dia akhirnya terjerat dengan janji-janjinya sendiri.

“Assalammualaikum”

Irsyad tersentak daripada lamunan. Suara yang memberi salam itu memang dia kenal sangat : suara Jazlan, adik bongsu Jasmin, satu-satu adik iparnya. “Waalaikumussalam.” Irsyad menjawab sambil bergegas membuka pintu.

“Eh, Lan. Bila kau sampai Malaysia? Tak dengar bunyi kereta pun?”, sapa Irsyad sambil mempelawa Jazlan masuk ke rumah.

“Apa yang Abang duk mengelamunkan sampai bunyi kereta saya pun Abang tak dengar? Hehe. Saya dah seminggu sampai Malaysia, Bang. Saja saya rahsiakan dari kakak, nak buat surprise kononnya. Oh ya, mana kakak? Izzah mana? Sunyi je”, balas Jazlan sambil melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu. Tapi, bila kaki Jazlan melangkah masuk, dia terasa macam ada aura seram datang ke arah tubuhnya.

“Kakak kau duk layan Izzah kat biliknya tu. Abang pun tak tau lah dengan Izzah tu, makin hari makin tak terkawal perangainya. Nak Abang panggilkan kakak kau ker?”, soal Irsyad

“Eh, tak apalah Bang. Biarlah dia layan Izzah tu dulu. Perangai Izzah tak terkawal? Apa maksud Abang?”. Jazlan menyoal abang iparnya itu.

“Entahlah Lan. Dia tu perempuan, tapi nakalnya mengalahkan anak lelaki. Dah puas Abang pujuk dia, supaya dia cuba berperangai lembut sedikit, tapi Abang pulak dimarahnya. Dengan ibunya lagilah, dicubit-cubit Jasmin sampai lebam-lebam lengannya. Kalau kita tak turutkan kemahuannya, dia buat tunjuk perasaan. Habis semua barang-barang dibalingnya. Sebab tu, apa yang dia nak, kitorang bagi je, tak nak dia terus memprotes”. Irsyad mengadu pada Jazlan.

“Abang tak marah dia ke bila dia buat perangai?”, soal Jazlan.

“Tak. Sebelum Abang dapat Izzah ni dulu, Abang dah pernah bernazar kat makam wali keramat. Abang cakap kalau Abang dapat anak, Abang takkan sesekali memarahi apatah lagi memukulnya. Dan, tak lama lepas tu, kakak kau pun mengandung dan lahirlah Izzah ni”, terang Irsyad.

“Haa?? Abang bernazar kat wali keramat untuk dapat anak? Khurafat tu bang! Kenapa Abang serahkan nasib Abang kat kubur yang kononnya keramat tu? Kenapa Abang buat semua ni? Abang kan seorang yang terpelajar”, soal Jazlan bertalu-talu.

“Abang dah takde pilihan Lan. Dah macam-macam kitorang buat untuk dapatkan anak. Semua pakar dah kami jumpa, tapi takde hasil. Pastu kawan abang rekemen sorang bomoh ni, boleh ubatkan semua jenis penyakit termasuklah penyakit takde anak ni. Dia bagi tangkal kat kakak kau dan suruh kami berdoa kat kubur wali keramat tu dan bernazar. Abang cuma ikut apa yang disuruhnya”, terang Irsyad bersungguh-sungguh.

Izzah sudah lena tidur di biliknya. Jasmin keluar dari bilik perlahan-lahan agar Izzah tidak terjaga dan menuju ke dapur untuk minum air tapi langkahnya terhenti apabila mendengar suara Irsyad seakan tengah berbual dengan seseorang. Dia tidak jadi ke dapur dan kakinya melangkah ke ruang tamu.

“Lan! Bila kau balik? Kau tengah cuti ke sekarang? Kenapa tak panggil kakak?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Jasmin sambil memeluk adik kesayangannya itu.

“Lan dah seminggu dah balik dari Mesir, kak. Mana ada cuti. Kan dah empat tahun Lan kat sana, ni Lan dah habis study la! Apa la akak ni!”

“Lan saja nak datang jalan-jalan kat rumah akak. Tak sabar nak jumpa anak sedara kesayangan Lan tu. Selalu tengok gambar yang akak kirimkan tu je, mana puas!”, balas Jazlan sambil ketawa kecil.

“Lah…Izzah tengah tidur lah Lan. Nanti kalau dia dah jaga, akak bawak dia jumpa kau. Kau tinggal lah kat sini. Boleh main-main dengan dia”, pelawa Jasmin.

“Memang la kak. Lan dah ready dah dengan beg pakaian kat dalam bonet kereta tu, cuma nak tunggu akak pelawa jer”, balas Jazlan.

“Haha. Ada-ada je kau ni. Tak payah nak tunggu akak kau pelawa. Tinggal la lama mana kau nak tinggal, bukannya rumah orang lain, rumah abang dengan kakak kau jugak”, sampuk Irsyad.

“Apa yang korang borakkan tadi? Rancak sangat bunyinya”, soal Jasmin tiba-tiba.

“Abang cerita pasal Izzah, Yang. Pasal perangai dia yang menjadi-jadi tu”, balas Irsyad.

“Hmm..betul tu Lan. Kakak tak tau dah nak buat apa. Dukun yang kami selalu pergi berubat tu dah mati. Kitorang kehilangan arah. Biasanya, apa je masalah kitorang dia dapat selesaikan. Kitorang syak ada jin kat dalam tubuh Izzah ni, sebab tu dia ganas semacam jer”, duga Jasmin.

“MasyaAllah! Sampai macam tu sekali akak dan abang yakin kat bomoh tu? Tak boleh macam tu kak! Yang memberi kesembuhan penyakit kat seseorang tu bukannya ditangan bomoh, dukun, pawang hatta doktor sekalipun. Itu semua kuasa Allah!”. Kesal Jazlan dengan kepesongan akidah kakak kesayangannya itu.

“Tapi, dia berubat guna ayat al-Quran Lan, bukannya puja jin ke, setan ke”, ujar Irsyad pula.

“Iyelah bang. Walaupun nampak macam Islamik sebab dia baca ayat-ayat al Quran, tapi ia bida’ah dan khurafat, bang. Buktinya, tangkal yang kakak sedang pakai tu dan saya yakin ada lagi tangkal lain kat dalam rumah ni.” Jazlan cuba menduga.

“Mana kau tahu ada tangkal lain kat dalam rumah ni?”, soal Jasmin seakan terkejut. Dia bimbang sesuatu yang buruk akan menimpanya kerana Tok Daik telah berpesan agar tiada siapa boleh tahu akan kewujudan tangkal itu selain dia dan suaminya.

“Ketika saya melangkah masuk ke dalam rumah ni, saya rasa semacam. Saya rasa macam ada aura jahat yang bermaharajalela dalam rumah ni”, balas Jazlan.

Irsyad dan Jasmin terdiam. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Tangkal tak boleh buat apa-apa kak! Maafla kalau saya cakap ni, tapi memang bodohlah orang yang percayakan tangkal yang melindunginya dari kuasa jahat. Khurafat tu, dan mungkin boleh jadi syirik kalau kita percayakan ada kuasa lain yang jauh lebih hebat dari kuasa Allah SWT”

Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Baihaqi dan Al-Hakim)

Jazlan menyambung bicaranya lagi. “Tujuan syaitan memang nak menyesatkan dan merosakkan akidah anak-cucu Adam. Memang itu sumpahnya. Syaitan takkan suruh kita bakar al-Quran ke, berak atas al-Quran ke, sebab benda tu memang jelas-jelas dilarang. Tapi syaitan perlahan-perlahan akan gunakan unsur-unsur agama untuk menyesatkan orang dalam beragama, iaitu melalui perbuatan bida’ah ini la kak, bang! Orang yang kita nampak macam baik, tapi hakikatnya telah merosakkan akidah kita”

“Macam abang cakap tadi, dia baca ayat al Quran tapi mungkin dia telah selang selikan dengan bacaan yang kita sendiri tak faham. Inilah cara syaitan menyesatkan manusia”, jelas Jazlan panjang lebar. Jazlan merupakan pelajar lepasan ijazah di sebuah universiti ternama di Mesir dalam jurusan Al-Quran dan Sunnah.

“Tapi…lepas je kita jumpa Tok Daik dan berdoa kat kubur wali keramat tu, terus kakak kau mengandung. Takkan lah amalan Tok Daik tu tipu semata-mata”, balas Irsyad cuba menegakkan kebenaran.

“Kat sinilah terletaknya kepentingan niat, Bang. Jika niat baca al-Quran untuk kebaikan, InsyaAllah, akan dapat pahala. Tapi kalau bacaan ayat Quran tu untuk mendapatkan sesuatu, contohnya anak. Dan, dengan izin Allah, ianya berlaku, kakak pun mengandung. Ini dinamakann istidraj. Allah kabulkan permintaan kita tu dengan tujuan nak menyesatkan lagi kita.

Sabda Rasulullah SAW:”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

“Istidraj? Akak tak faham lah Lan, boleh Lan explain lagi?”, pinta Jasmin.

“Maknanya, Allah bagi kita nikmat dengan tujuan untuk menghancurkan kita. Lan bagi contoh senang la, kisah anai-anai.”

Rasullulah SAW bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

“Anai-anai ni, kalau tidak bersayap, dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat iaitu sayapnya, dia akan cuba melawan api. Dan, akhirnya akan mati bergelimpangan. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT.” Jelas Jazlan lagi,

“Oh, macam tu ke Lan? Tapi macam mana akak nak buang tangkal-tangkal ni? Tok Daik tu cakap, kalau akak buang tangkal-tangkal ni semua, sesuatu yang buruk akan terjadi kat kak. Kalau akak mati macam mana? Akak takut!”, ujar Jasmin lemah.

Kak! Tolonglah jangan beriktikad sampai macam ni sekali! Apabila tiba masa mati, ketentuan tu akan datang tanpa dapat dielakkan. Umur kita panjang ke, pendek ke, semua tu urusan Allah. Ajal kita bukan terletak pada tangkal-tangkal tu! Akak cabut tangkal akak pakai tu sekarang jugak! Akak bagi Lan semua tangkal yang tergantung kat rumah ni. Tolonglah kak", rayu Jazlan.

Jasmin kelihatan sugul. Dia bangun dan mengambil semua tangkal yang berada di dalam dan luar rumahnya lalu memberikannya kepada Jazlan

“Lan akan hapuskan semua tangkal-tangkal ni. Pohonlah keampunan kepada Allah atas kekhilafan yang Abang dan Kakak lakukan ini. Bertaubatlah, sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa dan bertaubat. Berdoalah kepada Allah untuk memohon sesuatu, jangan meminta kepada dukun, bomoh”, ujar Jazlan lembut tapi tegas.

“Tapi, perangai Izzah yang menjadi-jadi tu bukan atas sebab gangguan jin ke?” soal Jasmin ingin tahu.

“Akak, akak terlalu obses kepada benda karut macam tu. Pada pandangan saya, ini bukan salah jin, tapi salah Kakak dan Abang. Maaflah, bukan niat saya untuk menyalahkan akak dan abang, tapi tu lah hakikat sebenarnya. Akak dan abang terlalu manjakan Izzah. Akak dan Abang tak pernah memarahinya kalau dia buat salah. Tak betul cara akak dan abang tu. Walaupun saya belum ada anak sendiri lagi, tapi saya banyak belajar dari pengalaman rakan-rakan dan saya banyak belajar dari buku. Anak ni anugerah kepada setiap ibu bapa. Walau senakal mana pun mereka, pasti ada cara yang sesuai bagi mendidik dan menangani tahap kenakalannya, sesuai untuk tahap umurnya. Dalam Islam sendiri menggariskan langkah-langkah yang sesuai untuk menangani anak-anak yang nakal ni. Paling utama ialah doa. Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia ke arah mewujudkan baiti jannati. Sebagai ibubapa, kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak. Anak nakal ni ujian Allah, kak. Allah saja uji keimanan kita untuk melihat sama ada kita semakin bersyukur apabila dikurniakan zuriat atau semakin jauh daripada-Nya. Apapun sebab kita diuji dengan kerenah anak, Allah bukan bertujuan menyeksa kehidupan kita, tetapi ini tanda kasih sayangNya”, balas Jazlan bersungguh-sungguh.

“Kakak sayang sangat kat Izzah. Akak tak sanggup tengok dia menangis kalau kena marah. Meruntun jiwa akak dibuatnya Lan. Lan pun tahu kan, dia je lah satu-satunya buah hati pengarang jantung yang akak ada. Sembilan tahun akak tunggu kehadiran dia tau!”, balas Jasmin dengan linangan air mata.

“Sebagai ibu bapa, akak dan abang perlu bijak dalam mendidik anak. Nak manjakan anak tak salah, tapi biarlah berpada-pada. Kesilapan akak dan abang sekarang ialah memanjakan Izzah dengan keterlaluan dan memberi ruang untuk Izzah mengambil kesempatan. Akak dengan Abang mesti pernah tengok filem "Anakku Sazali" kan? Dari filem tu je kita dapat ambil macam-macam pengajaran kepada ibu bapa agar tidak bersikap memanjakan anak dengan keterlaluan. Filem tu banyak bagi peringatan kat kita supaya berhati-hati dalam mendidik anak terutama sekali ketika masih kanak-kanak. Izzah baru tiga tahun setengah, Lan rasa akak dan abang masih belum terlambat.”

Jazlan hiba melihat kakaknya sudah mula menangis teresak-esak. Dia bangun dari sofa empuk yang di duduknya tadi dan menuju ke arah kakaknya yang duduk di sofa bertentangan. Jazlan merangkul Jasmin. Dipeluknya kakak kesayangannya itu erat. Jasmin menangis teresak esak di bahu Jazlan “Akak, biar anak menangis sekarang, jangan kita yang menangis di kemudian hari nanti. Bila perkara yang tak diingini terjadi, menangis airmata darah pun tak guna kak”. Jazlan berbicara lembut kepada Jasmin. Akhirnya Jazlan turut menitiskan air mata melihat keadaan kakaknya itu.

...TAMAT...

Comments
0 Comments

0 0 mEnGomEn:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...