Pengakhiran Penuh Debaran!


TRIMESTER KETIGA

4 April 2014 [Minggu-29]

Assalamualaikum anak Ibu. Galak betul Adik menari dalam perut Ibu ni ye. Agak-agak, Adik dah besar mana la sekarang ye?

Kesian Adik, Ibu jarang minum susu, mual. Ibu cuba nak ratah susu pun tak boleh, terus berdenyut kepala Ibu. Ibu harap Adik dapat kalsium yang secukupnya ye, walau Ibu tak minum susu. Ayah kadang-kadang ada la belikan susu kotak tuk Ibu, tapi yang perasa coklat la, kalau full cream, Ibu langsung tak leh telan.:'(

Sekarang waktu baru merangkak ke hari baru. Ayah dah lena diulit mimpi. Tapi Ibu masih tak boleh nak lelapkan mata. Pinggang dan belakang Ibu sakit sangat rasanya. Macam....ermm..macam apa pun Ibu tak reti nak explain. Tapi terlalu sakit. Nak mengiring tak kena, nak terlentang tak kena, nak menyandar apatah lagi. Macam ni rasanya bila mengandung yer? Ibu pun tak tau,sebab ni kali pertama Ibu mengalaminya sendiri.

Kadang-kadang Ibu terpaksa pendamkan sendiri, Ibu tak mengadu dengan Ayah, sebab Ayah sendiri dah terlalu penat dengan kerjanya. Pergi siang, balik malam. Tak sanggup rasanya nak mengadu kat dia. Biarlah Ibu sendiri  tanggung kesakitan ni, demi seorang anak yang dikasihi.

Tapi Ibu bukan bersungut ni tau. Cuma Ibu nak berkongsi rasa. Kalau suatu hari nanti Adik baca jurnal Ibu ni, Ibu nak Adik tau yang Ibu terlalu gembira ada Adik dalam perut Ibu. Walau terpaksa menanggung beribu kesakitan, Ibu pasrah sebab bukan senang untuk lahirkan seorang khalifah di muka bumi ni.

Adik, kurang tiga bulan je lagi Adik akan melihat dunia luar. Dah bersedia ke? Ibu? Ibu sebenarnya tak sabar nak tunggu Adik keluar tau! Tapi janganlah keluar awal sangat, dah cukup bulan, baru keluar ye? Keluar sebagai seorang anak yang cukup sifatnya, sempurna akalnya dan sempurna akhlaknya.

Ayah pun dah makin berdebar. Yelah, bila dah masuk trimester ketiga ni, kena sentiasa bersedia. Kadang-kadang baby boleh keluar awal dari jangkaan! Ayah dah risau nak Ibu lahirkan Adik kat mana nanti. Kat rumah Nenda atau di rumah sendiri saja. Ibu tak kisah sebenarnya nak beranak kat mana-mana pun, asalkan Ayah sentiasa ada di sisi Ibu. Kalau Ibu beranak kat Terengganu, tanpa Ayah di sisi menemani Ibu bersabung nyawa melahirkan Adik, mesti Ibu sedih. Ayah pun mesti lagi sedih, sebab dia nak sangat teman Ibu kat dewan bersalin nanti.

Ok la Adik. Ibu nak berehat dulu ye. Sakit betul pinggang ni. Nak urut sendiri, tak mampu. Mampu sapu minyak je. Mudah-mudahan tak lama la sakit ni yer.

6 April 2014 [Minggu-29]

Assalamualaikum. Ibu baru balik dari Melaka. Tempat kerja Ayah ada buat Family Day, jadi Ayah dan Ibu pun join la. Termasuk Atuk, Nenek dan Makcik2 Adik. Hihi. Banyak aktiviti yang diorang buat, tapi Ibu jadi pemerhati je. Mana la larat Ibu nak join main sukan kan? Selepas tamat Hari Keluarga tu, kami pergi ronda-ronda bandaraya Melaka. Takde niat nak beli apa pun. Cuma nak ronda-ronda, sementara ada kawan Ayah nak join pusing-pusing, Ayah bawak je la.

Dan tak disangka-sangka, Atuk dan Nenek belikan hampir semua kelengkapan untuk Adik. Ibu dan Ayah speechless, tak tau nak cakap apa. Asalnya Ibu dan Ayah plan nak beli sikit-sikit dulu, maklumlah, dana pun tak berapa tebal, jadi kami plan nak beli sikit-sikit je dulu. Tapi Atuk dan Nenek sayangkan Adik tau. Mereka belikan macam-macam untuk Adik. Dah besar nanti, Adik jangan lupa kat diorang tau!

Tu diaa...satu troley memborong barang untuk Adik! Penuh kaunter. Sampai terslah-salah cashier tu mengira. Hihi
Pakaian
Beg, tilam & bantal, mitten & booties, topi, towel, blanket, kelambu, changing mat
wet tissue, napkins, nursing pad, baby care & grooming, botol susu, beg botol
Untuk ibu: Set pantang , bengkung,  breast pump
7 April 2014 [Minggu-29]

Assalamualaikum. Harini temujanji ketujuh Ibu di KKIA KKPJ. Awal Ayah & Ibu pergi arini. Pukul 7.30am dah sampai klinik. Awal giler kan? Haha. Klinik pun tak bukak lagi. Nurse pun tak sampai lagi, Dr apatah lagi. Hihi. Melangok la Ibu & Ayah kat sana. Lebih kurang jam 8.40am baru kami dilayan. Nurse uji urine Ibu, Alhamdulillah, ok semua. Negatif albumin & gula dikesan dalam urin Ibu. Lepas tu, berat Ibu diambil. 72.4kg, turun 0.7kg. Tapi tak kritikal sangat rasanya. Nurse tak komen apa pun. Berat Ibu turun ni sebab Adik ambil lemak Ibu ke? Hihi. Kemudian, Ibu TERPAKSA minum air gula. ARGHH..perkara yang paling Ibu tak suka. Tapi redhakan je la, demi kesihatan Adik. Alhamdulillah la, darah Ibu senang pulak keluar arini. Nurse pun ambil sekali untuk uji Hb.
Selepas 8 jam berpuasa: 4.7mmol/L

Kemudian, Ibu dibawa ke pantry untuk minum air gula. Seperti biasa, flavorless. Huk3. Rasanya dekat 20 minit jugak kot Ibu minum segelas kecil air gula yang pekat tu. Setelah selesai, tekanan darah Ibu diukur. 120/70mmHg. Alhamdulillah, normal. Tak naik darah Ibu minum air gula tu. Hihi. Kemudian, tinggi rahim Ibu diukur, Alhamdulillah, 29 minggu mengandung ni, tinggi rahim Ibu pun 29 cm. Unik kan penciptaan Allah? PeraturanNya sangat sukar untuk dicanggah dan dipertikai! Kedudukan Adik secara Cephalic (kepala di bawah) dan jantung Adik berdenyut 140 denyutan/minit. Alhamdulillah. Normal. Kaki Ibu pun tiada pembengkakan.Selesai check perut semua, Ibu pun kena dos kedua suntikan ATT. Rasanya? Tak sakit pun. Sebab macam dah lali dengan jarum ni. Hik3.

Ibu menunggu Dr untuk scan pulak. Nak jumpa Adik dalam skrin. Hihi. Alhamdulillah, semua yang Dr cakap tu sedikit sebanyak melapangkan hati Ibu. Dr kata, air ketuban cukup, kedudukan bayi OK, uri pun pada kedudukan normal, keadaan fizikal pun tiada yang membimbangkan. Pendek kata, semua tiada masalah. Alhamdulillah.

Selesai jumpa Dr dalam pukul 9.45am. Pukul 10.45am nak kena ambil darah lagi untuk tengok kandungan gula dalam darah setelah 2 jam minum air gula. Ibu dan Ayah sepakat stay kat klinik je la. Malas nak ulang alik. Sejam berlalu, Ibu pun mintak nurse check darh Ibu. Alhamdulillah, darah Ibu tak buat hal hari ni. Keluar smoothly. Hihi. Setelah dia letak sampel darah pada strip dan dimasukkan ke dalam glucometer, keputusan pun terpampang.
Setelah 2 jam minum air gula : 5.9mmol/L
Misi yang periksa Ibu tu macam terkejut. "Eh, tinggi ni. Kena tulis dengan pen merah". Ibu pun cuak! Ayah pun cuak! Tapi Ibu tanya nurse tu semula, "Bukan ke lepas minum air gula, tak boleh lebih 7.8mmol/L?". Pastu nurse tu tersedar dia silap, "Eh, maafla. Tengah pening. Tertukar dengan patient sebelum ni. Ok2, normal". Fuhh..lega Ibu! Ayah tersenyum sampai telinga. Ibu tak kuat minum manis, risau jugak tetiba boleh detect ada kencing manis. Alhamdulillah takde.

Banyak ni air gula yang kena Ibu minum. Seksanya nak habiskan 1 mug. Sampai menitis airmata. Nasib ada Ayah kat sebelah, bagi semangat kat Ibu untuk Ibu habiskan.
Ibu kena datang KKPJ lagi dua minggu, sebab HB Ibu rendah, 10.3gm/dL. Iron vitamin dah kena tambah double dose. Dari 2 biji kepada 4 biji. Mudah-mudahan next fortnight, Hb Ibu kembali normal.

21 April 2014 [Minggu-31]

Assalamualaikum. Ibu pergi temujanji kelapan hari ini. Sedikit cuak. Risau pasal Hb. Sampai je kat klinik, nurse suruh Ibu kencing dan sampel hantar kat makmal. Aik? Selalu tak payah hantar makmal pun, cek pakai kertas dia tu je. Ibu pun akur la. Bawak sampel urin tu ke makmal dan hantar. Beberapa minit kemudian, nama Ibu dipanggil dan sekeping kertas keputusan diperoleh. Ibu bawa kembali kertas tu ke KKIA.

Seperti biasa, berat Ibu diambil. 75.9kg. Naik 3.4kg dalam masa 2 minggu. Err..ok ke idokk yer? Asal naik tu, kira OK la kan? Janji jangan turun. Hihi (sedapkan hati sendiri). Tekanan darah normal, 110/60mmHg.  Kaki Ibu ada sedikit pembengkakan. Hb dalam darah Alhamdulillah dah naik, tapi masih di bawah tahap normal, 10.9gm/dL. Kedudukan Adik secara Cephalic, tinggi rahim 31 cm dan jantung Adik berdenyut 139 denyutan/minit.

Jumpa Dr. Doktor cakap kencing Ibu kotor. Alamak! Pertama kali ni kena kencing kotor sepanjang kehamilan. Tapi Dr kata sikit je. Cuma kena banyakkan minum air masak. Err...memang lately Ibu kurang minum air masak, Ibu banyak tumpu minum jus buah-buahan sebab Ibu nak naikkan balik Hb Ibu. Tak sangka pulak sampai kencing jadi kotor. Sob..sob.. Ayah dah bimbang semacam. Doktor tanya samada Ibu ada alami keputihan, Ibu jawab ada. Jadi, Dr ada bekalkan ubat untuk cegah keputihan tu. Mudah-mudahan next session, kencing Ibu dah kembali normal.

24 April 2014 [Minggu-32]

Assalammualaikum Adik. Yeahh..sukanya Ibu arini. To'ki, Nenda, Ayah Long & Ayah Ngah datang kat sini. Gembiranya. Hihi. Mak Adik je tak dapat datang, dia masih kat U dia. Takpelah kan. Banyak betul kelengkapan yang mereka bawakkan untuk Adik tau. Masing-masing tak sabar tunggu kelahiran Adik.

Set tilam ni Nenda jahit sendiri tau. To'ki yang cadangkan dan beli semua kain. Saja mereka pilih warna biru sebab kalau Adik ni boy/girl, boleh pakai. Kalau guna warna pink, macam pelik pulak kalau boy pakai kan? Hik3
Barut ni pun Nenda jahit sendiri. Tapi Nenda duk risau muat ke tak Adik pakai nanti. InsyAllah, muat punya. Barut yang ni confirm teguh, sebab jahit dari hujung ke hujung. Biasa Ibu tengok barut yang dah siap, talinya dijahit kat hujung je. Sekejap je pakai maybe dah tertetas benangnya kan?
Bedung yang ni pun Nenda jahitkan. To'ki yang pilihkan kain. Cantik kan? Pandai To'ki pilih. Ni memang kain spesial untuk bedung sebab kain ni jenis 'memeri'. Siap buat bedung tangan lagi tu. :)
Yang ni boleh jadi alas tilam atau selimut. Pun Nenda yang jahitkan. Kombinasi kain terkini dan dulu. Kain yang warna warni tu kain perca asalnya, kain baju masa zaman Nenda muda-muda dulu. Tapi bila Nenda dah buat macam tu, jadi cantik pulak kan? Kreatif betul!
Beg ni takde dalam senarai pun sebenarnya. Nenda cakap tengok ada lagi kain yang lebih, Nenda buat la beg untuk baby. Tapi oleh sebab Ibu kenan, Ibu ambik lah, sorry ye Dik. Ibu dah bubuh dah barang-barang keperluan ke hospital Ibu kat dalam ni. Hihi
Ini Ibu punya. Nursing cover Nenda buat. Senang nak susukan Adik nanti kalau tetiba Adik mintak susu kat tempat public kan? Siap ada poket..^_^
Katil bayi ni Ayah Ngah yang hadiahkan untuk Adik. Boleh dibuat macam buai atau letak atas lantai. Macam comel je kan? Tak sabar rasanya nak bubuh Adik dalam ni. Hihi

5 Mei 2014 [Minggu-33]

Assalamualaikum. Temujanji kesembilan harini di KKIA KKPJ. Dalam dua minggu ni Ibu kembali kerap minum air masak. Risau kalau kencing kotor lagi. Ibu memang suka minum air masak, tapi sebab Hb Ibu turun mendadak tempoh hari, Ibu terkurang minum air masak sebab banyak minum jus. Padan muka la kat Ibu kan? Tak seimbang!

Nurse memanggil nama Ibu dan menyuruh Ibu kencing di bangunan pesakit luar dan sampel terus dibawa ke makmal. Erk! Cuak sangat. Tak pernah pulak sampai kena pergi kencing kat sana. Selepas beri sampel urin tu, Ibu disuruh tunggu sebentar. Ibu dan Ayah masing-masing dah cuak. Keputusan pun diperoleh. Ibu tengok keputusan tersebut walaupun Ibu tak berapa paham istilah medical ni. Ibu nampak semua 0. Ibu assume takde apa-apa la. Haha.

Ibu dan Ayah kembali ke KKIA dan serahkan keputusan kepada nurse. Kemudian nurse bawa Ibu untuk timbang berat. 75.6kg. Turun 0.3kg dalam masa 2 minggu. Tapi Ibu rasa tak teruk kot, sebab hari tu Ibu dah naik banyak kilo, ni cuma turun beberapa gram jer. Hihi.  Kaki Ibu dah tak bengkak. Alhamdulillah. Ibu selalu amal kalau tidur, kaki mesti tinggi dari punggung dan elakkan kaki berjuntai semasa duduk. Kedudukan Adik secara Cephalic, tinggi rahim 33 cm dan jantung Adik berdenyut 140 denyutan/minit. Alhamdulillah. Hb Ibu pun dah naik, melepasi tahap normal 11.3gm/dL. Syukur sangat. Mungkin sebab Ibu kerap ambil buah-buahan berzat besi tinggi dan ambil suplimen Obimin. Kencing Ibu pun dah kembali normal, dah tak kotor. Ayah gembira sangat Hb Ibu dah naik dan kencing Ibu dah OK. Dipeluk-peluknya Ibu. Haha

Kemudian, nurse ada terangkan tentang kelebihan penyusuan susu ibu. Kena sentiasa fikir dan tanamkan azam yang kita nak susukan anak kita sampai umur dia dua tahun, sebab susu akan terhasil dari rangsangan psikologi kita. Kalau kita kata tak boleh/tak nak, maka susu tak akan terhasil. Barulah Ibu tahu. Nurse ada cakap yang kalau kita sentiasa bagi susu badan kat bayi, ini membolehkan si ibu kembali kurus dengan cepat. Penyusuan susu ibu sepenuhnya boleh melewatkan kedatangan haid dan boleh melewatkan si Ibu dari hamil lagi. Ini boleh dijadikan sebagai perancang keluarga secara semulajadi. Ia juga membantu rahim si ibu kembali ke saiz asal dengan cepat dan mengurangkan risiko pendarahan yang berlebihan. Susu ibu ni ada antibodi yang dapat lindung baby dari kuman & alahan. Ia juga ada zat khusus untuk perkembangan otak baby. Banyak juga ilmu baru yang Ibu dapat hari ni. Nurse ada cakap kalau baby kena kuning (juandice), jangan jemur baby kat direct sunlight. Sebab zaman sekarang ni tak macam dulu. Lapisan ozon dah makin menipis, pencemaran terlalu banyak, dan ini boleh merosakkan kulit baby. So, untuk kurangkan/hilangkan penyakit kuning kat baby, cuma selak langsir dan beri cahaya masuk menerusi tingkap dan letakkan baby berhampiran tinngkap. Elakkan dari bergelap. Itu sahaja.  

7 Mei 2014 [Minggu-33] 

Ibu buat aktiviti seperti biasa. Basuh kain, kemaskan dapur, sapu rumah sikit-sikit, masak, kemaskan apa yang patut. Tiada apa yang pelik dan membimbangkan sehinggalah menuju petang.

Ibu dapat rasa Adik kurang bergerak seperti biasa. Selalunya dalam pukul 12 pm, kiraan dah lebih lima kali (kiraan start pukul 9 am) , tapi hari ni Ibu rasa macam kurang. Tapi Ibu tak suarakan pun kat Ayah, sebab mungkin Adik dah besar, Adik kurang gerak (pada pendapat Ibu je la).

Selesai solat Maghrib, Adik masih kurang gerak. Ibu dah semakin cuak. Biasanya paling lewat, jam 6 pm dah complete 10 kali gerakan. Ibu sedapkan hati Ibu, "Adik tidur ni kot". Ibu cuba tepuk-tepuk dan goncangkan perlahan perut Ibu, tapi masih tiada respon dari Adik. Mata Ibu dah berkaca, Ayah masih belum pulang dari kerja. 

Dalam pukul 8, Ibu ke rumah Nenek, makan keropok. Masa tu hati Ibu tak sedap, tapi Ibu tak suarakan, bimbang merisaukan yang lain pulak. Ayah pulak macam tengah penat, Ibu tak tau samada nak bagitau dia atau tidak. Dalam jam 9.30pm, Adik ade gerak sekali. Ibu lega, tapi masih belum lega sepenuhnya sebab gerakan Adik dalam 12 jam tu masih belum cukup 10 kali, hanya 7 kali.

Jam 11 pm, Ibu pulang ke rumah bersama Ayah. Ibu panaskan nasi untuk makan malam, tapi dalam hati masih teragak-agak sama ada nak ceritakan pada Ayah atau tidak. Semasa Ayah dalam bilik, sedang leka memerhati telefon bimbit, Ibu mula bersuara. "Abi, kalau Sayang nak cakap sesuatu ni, Abi jangan marah ye?". Ayah pun menjawab, "Ceritalah". "Ermm....baby kurang gerak la harini. Bukan tak gerak, tapi slow, tak macam biasa', jawab Ibu. "Haa..biar betol! Kenapa tak bagitau awal-awal!", suara Ayah meninggi seakan cuak. Ibu cuma senyap, tak menjawab soalan Ayah, lalu Ibu ke dapur untuk memanskan lauk. Selesai  semua, Ibu masuk kembali ke dalam bilik. Ayah bersuara, " Sayang siap-siap la, kita pergi hospital sekarang". Ibu jawab, "Tak boleh tunggu esok ke? Ni dah dekat pukul 12 am". "Mana boleh tunggu esok, jadi apa-apa kat budak tu nanti, kita yang menyesal! Cepat siap", tegas Ayah. Ibu pun bersiap sementara Ayah bagitau kepada Atuk dan Nenek di sebelah. 

Lebih kurang jam 11.25pm, Ibu dan Ayah bertolak ke Hospital Segamat yang jauhnya lebih kurang 30km dari rumah. Ayah hidupkan double signal dan memecut laju. Mujurlah jalan pada malam tu lengang saja, tak banyak kenderaan lalu lalang.  

8 Mei 2014 [Minggu-33]  

Lebih kurang jam 12.10 am, Ibu dan Ayah tiba di hospital. Kami terus naik ke Dewan Bersalin di tingkat 1, menggunakan tangga. Ayah jalan laju betul, Ibu terkejar-kejar. Sampai je di Dewan Bersalin, ada seorang sister ni datang bertanyakan masalah. Ibu pun cakap la baby kurang gerak. Dia minta buku pink dan IC, dan suruh Ibu baring. Dia bersama 2 jururawat lain memulakan kerja. Tekanan darah Ibu diambil. Tinggi! Kemudian sister tu tengok perut Ibu dan ukur. Kemudia dia uji denyutan jantung Adik menggunakan Doppler. Bacaan normal. Kemudian, ada perempuan Cina bertanyakan soalan kepada Ibu, tapi Ibu tak dengar (sebab terlalu cemas) sampailah sister tu menegur, "tu Doktor tanya tu". Doktor tu seakan marah kat Ibu. "Kenapa datang lewat? Sepatutnya kalau 9 pm, gerakan baby masih tak cukup 10 kali, kena terus pergi ke hospital, ini kenapa dah lewat lebih 3 jam?". Ibu terkedu. Ibu pun cakap lah yang suami takde kat rumah, rumah pulak jauh. Ibu auta la sikit-sikit. Hahah.

Kemudian, Ibu disuruh kencing dan tukar pakaian kaler pink. Ibu langsung tak jangka pun kena admit. Ibu ingatkan tukar baju tu untuk memudahkan Dr nak scan ke apa. Bila Ibu jumpa Ayah, Ayah kata Ibu kena tahan 24 jam untuk pemantauan. Oh maiiii....Ibu rasa macam nak lari. Malasnya duduk wad. Bosan. Tak best. Panas!! Ibu pun dipanggil untuk buat ultrasound. Doktor pulak senyap je, takde cakap apa-apa. Ibu takot nak tanya, tengok muka doktor tu kerek semacam je. Hihi. Selesai ultrasound, Ibu dibawa ke sebuah bilik untuk CTG pulak. Ok, CTG ni pertama kali Ibu buat kot! Tak pernah lagi buat CTG seumur hidup. 
CTG (Cardiotocography) ialah sejenis alat yang dipasang di perut ibu hamil bagi mengesan kadar degupan jantung bayi dan juga contraction. Dari segi perubatan (obstetrics),CTG ialah satu istilah teknikal yang merujuk kepada pengiraan atau merekod denyutan jantung bayi / fetal dan juga kontraksi sewaktu hamil kebiasaannya dibuat pada trimester ketiga. Alat atau mesin yang diguna dipanggil cardiotocograph, atau electronic fetal monitor (EFM) 
Ibu disuruh baring dan 2 orang nurse memasang 2 tali pinggang pada perut Ibu. Kemudian Ibu ditinggalkan. Ibu blur, apa diaorang tengah buat ni sebenarnya erk. Hihi. Ibu tak perasan yang mesin sebelah Ibu tengah reading sesuatu. Dan dalam beberapa minit, seorang demi seorang doktor dan jururawat tengok keputusan, dan mengangguk. Ehh..tak cakap pape pun diorang ni. Ok ke idokk sebenarnya. Sepanjang Ibu buat CTG tu, rancak la pulak Adik menendang. Kuat pulak tu. Bergelombang perut Ibu. Hihi. Tak lama kemudian, Ada seorang nurse masuk. Muka dia manis, senyum je. So, Ibu tak cuak la nak tanya. "Misi, ni alat untuk apa erk? Baby ok tak?" Dia pun jawab tu alat untuk tengok pergerakan baby, dan dari apa dia tengok, baby gerak aktif. Alhamdulillah, lega Ibu dengar. Tapi memang aktif pun. Rasanya adalah 5,6 kali Adik buat gerakan sepanjang Ibu tengah buat CTG tu. Itu gerakan yang kuat, gerakan perlahan lagi banyak rasanya.

Ni lah mesin CTG. Pertama kali Ibu guna. Dari graf yang Ibu tengok, banyak betul peak yang tinggi. Kemungkinan tu adalah gerakan Adik. Ibu andaikan je la, sebab takde orang nak explain. Huhu
Selesai buat CTG, Ibu disuruh tunggu di luar sebentar.Kemudian ada doktor lain datang. Tanya samada gerakan baby dah cukup 10 kali ke belum. Ibu kata dah, dalam pukul 1 am baru cukup. Dia tanya banyak lagi la, tapi Ibu dah tak ingat sebab dalam kepala Ibu pikir nak balik je, tak nak duduk wad. Huhu. Ibu pun keluar, pergi dekat Ayah. Masa tu Atuk ngan Nenek pun ada. Ibu tanya Ayah betul ke Ibu kena tahan wad? Ayah mengiyakan, siap tunjuk surat bayaran deposit masuk wad lagi. Aiyaa..kira confirm la kan. Taknak....taknak!!! Dah la Ibu sehelai sepinggang je, langsung tak bawak apa-apa. Hand-phone pun tertinggal. Lalu Nenek hulurkan hand-phone dia, suruh Ibu pakai, in case kalau ada apa-apa.

Ibu pun dibawa ke wad 10. Duduk katil paling hujung, dekat dengan toilet. Sebelum tu nurse check semula tekanan darah Ibu, sebab masa mula-mula sampai tadi terlalu tinggi. Dan Alhamdulillah, tekanan darah Ibu kembali normal. Jam menunjukkan 2 am. Ibu terbaring keseorangan di katil, dan telah mula merindui Ayah. Tiba-tiba nurse panggil untuk ambil sampel darah dan disuruh tidur semula. Dan sepanjang malam Ibu tak dapat tidur lena. Panas tu sekian hal, pastu rasanya hampir setiap jam nurse akan ambil tekanan darah dan check denyutan jantung baby. Sabor je lah.

Pagi tu, tengah Ibu lepak-lepak atas katil, Ibu ternampak kelibat Ayah. Ibu ingatkan Ibu mimpi jer. Rupanya betul. Ayah ada bawak air dan sedikit makanan. Wahh..terubat rindu kat Ayah. Ayah dapat masuk sekejap je, sebab bukan waktu melawat, lagipun Ayah tengah rushing nak pergi kerja. Ayah bawak kelengkapan mandi untuk Ibu serta pakaian. Tak lupa juga hand-phone. Lalu Ibu bagi semula hand-phone Nenek kat Ayah.

Kemudian, ada beberapa orang doktor datang. Dan Ibu dibawa untuk ujian ultrasound sekali lagi dan sekiranya keputusannya ok, Ibu dibenarkan balik. Yeahhh. Dalam pukul 3 pm, Ibu dibenarkan discharge. Alhamdulillah. Lega. Sebab hari ni, satu Segamat black out. Kalau Ibu kena stay sampai malam, rasanya boleh pengsan woo..haha

Ayah tiba menjemput Ibu, selesai bayar bil dan ambil ubat, kami pun balik. Dan Ibu sambung tidur kat rumah. Ahh..nyamannya tidur dalam bilik sendiri. Hihi.

8 Mei 2014 [Minggu-33]

Selepas Subuh, macam biasa Ibu tidur balik. Ngantuk sangat rasanya. Tiba-tiba Ayah kejut, "Sayang..Sayang, dah lewat ni, jom pergi klinik". "Klinik?". Ibu seakan blur. "Eh..betul la. Harini ade temujanji buat USG ngan doktor. Ibu langsung tak ingat, Ayah pulak yang ingatkan. Jam menunjukkan jam 8 pagi. Ibu bergegas mandi dan bersiap. Dalam jam 8.20am, kami tiba di KKPJ. Boleh tahan ramai juga orang kat KKIA. Ibu disuruh kencing, dan Alhamdulillah, kencing Ibu normal.  Lalu Ibu disuruh timbang berat badan Ibu, 75.4kg, turun 0.2kg dalam masa 3 hari. Ok la tu kan? Haha. Tekanan darah 120/70mmHg, Alhamdulillah.

Selesai semua, Ibu disuruh tunggu di depan bilik doktor. Tengok orang tak ramai mana, Alhamdulillah. Plan dalam sebelum pukul 10am dah boleh setel. Tunggu punya tunggu, nama Ibu masih belum dipanggil. Nama orang yang datang kemudian pulak yang dipanggil dulu. Ayah tanya, "Sayang bagi tak kad Sayang?". Ibu jawab, "Eh, bagi lah. Kan dah letak dalam bakul tu tadi".

Kami menanti dan terus menanti. Seorang demi seorang keluar, namun nama Ibu masih belum dipanggil. Jam sudah menunjukkan jam 11.30am. Aduhh..lamanya. Ayah dah tak senang duduk.

Dan akhirnya nama Ibu dipanggil jua. Ibu dan Ayah masuk ke dalam bilik Doktor. Doktor bertanyakan beberapa soalan dan Ibu disuruh baring untuk buat USG. Alhamdulilllah, semua yang keluar dari mulut Dr menenagkan hati Ibu. Dia kata kepala dah kat bawah, air ketuban cukup, uri ok, berat baby 2077g.
Jantina masih tak nampak, Ibu tak kisah pun lelaki / perempuan, yang penting sihat dan cukup sifatnya. InsyaAllah.

Selesai jumpa doktor, Ayah marah Ibu. Sob..sob. Ayah kata lain kali jangan lewat dah. Setengah hari Ayah ponteng kerja sebab teman Ibu. Kesian Ayah. 

19 Mei 2014 [Minggu-35]

Temujanji seterusnya. Awal pagi dah tiba di KKIA KKPJ. Takut lewat siap lagi. Kesian Ayah pergi kerja lambat lak nanti. Ayah Adik ni best, dia tunggu Ibu dari mula sampai habis. Tak bagi Ibu duk sorang-sorang. Hihi. Tapi sementara teman Ibu tu, dia buat la suka hati dia, terutamanya main game. Jangan menurun kat Adik pulak nanti, sudahla. Hihi

Macam biasa. Mula-mula kena kencing dulu, nak check kandungan albumin dalam urin. Alhamdulillah, urin Ibu ok, takde masalah. Kemudian, timbang berat. 76.3kg. Woha! Beratnya!! Naik 0.9kg dalam masa 2 minggu!!! Aishh….cepat betul berat badan Ibu naik kan Dik? Hik3. Dah siap timbang, ambil tekanan darah pulak. 120/70mmHg. Alhamdulillah, normal. Kaki pun tak bengkak, tapi nurse macam hairan, sebab kaki Ibu nampak macam besar, tapi bila check, tak de lah bengkak pun.

Kebetulan hari ni ramai betul ibu hamil buat pemeriksaan, jadi bilik yang biasa untuk check perut tu penuh. Nurse pun ajak Ibu ke bilik sebelah. Sambil tu dia cerita pasal tanda-tanda awal bersalin. Selain tu cerita pasal perkara-perkara yang perlu buat selepas bersalin, cara-cara nak jaga luka, tanda-tanda jangkitan seperti bernanah, kemerahan, luka yang tak bercantum dan macam-macam lagi. Nurse kata ada kelahiran yang tak perlu gunting ‘jalan keluar’, dan ada kes sekiranya kepala bayi sukar nak keluar, Doktor akan membantu dengan memotong sedikit ‘jalan keluar’, jadi lukanya pasti ada.

Bila dah takde orang guna katil, barulah Ibu dibawa untuk periksa perut. Alhamdulillah, tinggi rahim Ibu 35cm, sama dengan usia kandungan Ibu, 35 minggu dan kepala Adik sudah di bawah (cephalic). Jantung Adik berdenyut 130 denyutan/minit, dan jelas kedengaran detak jantung tu. Subhanallah.

Selesai semua. Ibu dan Ayah pulang awal, sekitar 10 am dah balik. Boleh lah Ayah sambung buat kerja dia yang terbengkalai.

26 Mei 2014 [Minggu-36]

Ke KKPJ lagi. Dah jadi rutin. Hik3. Alhamdulillah tak ramai ibu hamil yang datang pagi tu. Mungkin belum sampai lagi kot. Nama Ibu antara yang terawal dipanggil. Disuruh kencing dan urin Ibu diperiksa, Alhamdulillah negative dari albumin dan gula. Berat badan Ibu naik lagi, 76.8kg, naik 0.5kg dalam masa seminggu! Woha! Melampau naikknya kan?

Kemudian, tekanan darah Ibu diambil. Dan dari sinilah bermulanya episod duka di hujung kehamilan Ibu ni. :’(. Nurse ambil tekanan darah, mula-mula 130/80mmHg. Dia suruh Ibu rehat. Periksa lagi, 140/90mmHg. Eh! Makin naik! Nurse suruh Ibu baring dan rehat. Kemudian diperiksa lagi. 150/100mmHg. Gila! Semakin naik. Ibu jangan cakap la, memang cuak gila. Memang tak sangka secara tiba-tiba Allah nak uji Ibu dengan cara macam ni. Nurse suruh Ibu bertenang dan jangan berfikiran negatif. Cuma fikirkan yang elok-elok sahaja. Ibu cuba. Tapi entah kenapa masih lagi terbayang-bayang, takut, memikirkan punca kenapa tekanan darah Ibu semakin naik. Jantung Ibu ni pulak tak reti nak berdegup macam biasa, masa tu pulak bukan main kencang dia berdegup. Adrenalin Ibu memecut selajunya, seiring dengan jantung yang makin galak mengepam.

Setengah jam Ibu disuruh berehat, masih sama keputusannya, tidak langsung turun tekanan darah tu. Seorang sister tu tanya Ibu sama ada Ibu ada tanda-tanda seperti pedih ulu hati, sakit kepala di bahagian hadapan, loya muntah dan mata berpinar-pinar, Ibu jawab je lah takde sebab memang Ibu takde alami sebarang tanda tu. Ibu rasa Ibu ok je, Ibu sihat je tapi entah kenapa tekanan darah Ibu boleh naik macam tu. Nurse kata, bahaya kalau ada darah tinggi semasa hamil ni, boleh menyebabkan si ibu diserang sawan dan meningkatkan risiko kematian kepada ibu & bayi dalam rahim. Nauzubillah. Bimbang pulak Ibu. Jadi, Ibu terpaksa dirujuk kepada doktor. Kat bilik doktor, tekanan darah Ibu turun sikit,140/80mmHg, tapi masih tinggi. Doktor tanya samada Ibu ni ada sejarah keluarga yang ada darah tinggi atau tidak. Ibu cakap la Ibu punya Ibu dan Ayah ada darah tinggi. Terus doktor suruh Ibu check tekanan darah setiap hari selama dua minggu. Gila! KKPJ tu bukan dekat, 15 minit kot! Nasib baik la doctor tu tanya Ibu duduk mana, dan dia suruh Ibu check dengan Pembantu Pegawai Perubatan (MA) kat sini. Dekat lah sikit. Yelah, jenuh kot nak berulang setiap hari. 9 Jun 2014, ibu kena jumpa doktor semula, untuk tengok keputusan tekanan darah tu dan doktor akan ambil tindakan seterusnya berdasarkan keputusan tu.  

27 Mei 2014 [Minggu-36]

Ibu rehat kat rumah macam biasa. Ayah keluar ke Segamat arini, jadi Ibu takde mood nak masak. Ibu goreng ayam je untuk lunch, malas nak masak nasi. Ibu kemas rumah serba sikit, semampu Ibu. Lepas siap kemas, Ibu baring-baring sambil surfing internet. Tiba-tiba Nenek ajak Ibu makan kat rumah. Ibu iyakan aja.

Selesai makan dan berehat kat rumah Nenek, Ibu pun balik ke rumah kita balik. Sampai je kat rumah, Ibu terdengar bunyi telefon. Dari nurse KKPJ. Ibu angkat, dia kata dia nak datang ke rumah. Sepatutnya hari ni Ibu kena check tekanan darah dengan MA, tapi belum sempat sebab tiba-tiba Ayah kena pergi ke Palong pulak. Nasib lah nurse nak datang rumah. Dia nak check tekanan darah Ibu. Setelah nurse sampai, Ibu disuruh baring dan rehat. Tak lama kemudian dia ambil tekanan darah Ibu, 150/80mmHg. Tinggi. Dia tanya Ibu penat ke, berdebar ke, Ibu cakap takde. Ibu cakap la Ibu rehat je sepanjang hari. Masak pun tidak. Dia pun call sister kat klinik, laporkan keputusan.

Kemudian Ibu disuruh rehat lagi. Dan dia saja ajak Ibu berbual dan gelak-gelak agar Ibu tak cuak. Sambil tu, dia check perut, dia kata perut Ibu macam besar je, tapi tak la besar sangat hingga tahap membimbangkan. Degup jantung Adik pun jelas kedengaran, 146 denyutan/minit dan kedudukan Adik masih lagi cephalic. Selepas 20minit, dia uji lagi, 140/80mmHg. Masih tinggi, tapi dah turun sedikit dan kebetulan Ayah pun sampai ke rumah. Ibu disuruh kencing untuk tengok urin Ibu ada kehadiran albumin atau tidak. Alhamdulillah, negatif. Kaki Ibu pun tiada pembengkakan. Yang merisaukan bagi ibu hamil yang terkena darah tinggi ni adalah pabila terdapat kehadiran protein dalam air kencing dan pembengkakan pada kaki, yang dinamakan pre-eclampsia (PE). Pakar perubatan sendiri tidak pasti apa punca masalah ini terjadi. Ia adalah sesuatu yang sangat di luar kawalan, dan merupakan ujian Allah kepada insan yang terpilih. Dan Ibu antara salah seorang insan terpilih yang ingin Allah uji. :')

Sebelum nurse tu balik, dia pesan supaya Ibu datang ke klinik awal pagi esok untuk check tekanan darah dan mungkin refer doktor untuk start makan ubat. Nurse pun sempat cerita kat Ayah bahaya darah tinggi ni bagi ibu hamil. Ayah risau betul.

28 Mei 2014 [Minggu-36]

Ayah bawa Ibu ke KKIA KKPJ. Nak check tekanan darah. Dalam hati ni tak henti-henti berdoa agar tekanan darah Ibu kembali normal macam sediakala. Sampai je kat sana, takde seorang pun ibu hamil yang sedang menunggu. Jadi, cepatlah ibu check. Nurse suruh ibu berehat dulu, maklumlah baru sampai. Kalau terus check, mau melambung tekanan darah tu. Hihi.

Ibu dibawa ke dalam bilik dan disuruh baring dan berehat. Tak lama kemudian, nurse ambil tekanan darah Ibu. 150/90mmHg. Fuhh..memang tinggi tu. Nurse suruh Ibu berehat setengah jam dan Ayah setia menunggu. Selepas setengah jam, tekanan darah Ibu diambil lagi. Masih sama, tiada penurunan langsung. Ya, Ibu akui, Ibu terlalu banyak berfikir ketika tu. Jasad je yang berehat, tapi mental asyik memikirkan yang bukan-bukan. Mungkin itu salah satu punca darah Ibu naik. Nurse menghubungi doktor (doktor berada di luar kawasan) dan doktor menyuruh Ibu makan pil darah tinggi (Tab. Adalat) sebiji. Nurse pun bagi la pil tu kat Ibu dan suruh Ibu rehat kat bilik doktor, sebab bilik doktor ada air-cond. Ibu disuruh berehat sejam. Ibu bagitahu Ayah, dan Ayah kata Ayah nak balik sekejap sebab dia ada urusan yang perlu dia selesaikan. Yelah, lama tu nak menunggu, kesian Ayah.

Kat dalam bilik doktor yang sejuk tu pun Ibu rasa panas sangat. Tak tentu arah jiwa ni. Memang tak dapat nak lelap. Ibu risaukan pelbagai kemungkinan. Dan tak semena-mena kepala Ibu rasa berdenyut. Haa..sudah!! Jangan lah!! Ibu taknak kena sawan! Sakit betul rasa kepala Ibu, macam nak hentak kat dinding je rasanya. Ibu tanggal tudung, alang-alang Ibu duk sorang-sorang dalam bilik tu kan. Doktor bukan ada pun. Ibu syak Ibu sakit kepala sebab rambut Ibu basah, tapi bukan. Ibu rasa ini kesan ubat Ibu makan tadi. Selepas sejam, nurse check semula tekanan darah Ibu. Masih sama. Selepas makan ubat pun tekanan darah masih tidak turun. Ibu mengadu kat nurse yang Ibu sakit kepala selepas makan ubat. Nurse pun panik. Dia terus hubungi doktor bertugas di Dewan Bersalin Hospital Segamat. Doktor dari sana arahkan untuk datang ke Hospital Segamat dan set 2 line kat tangan Ibu. Maka, tangan kiri kanan Ibu kena cucuk.

Kebetulan Ayah ada ketika tangan Ibu kena cucuk tu. Tak tau masa bila Ayah sampai ke klinik semula. Ayah bawak makanan untuk Ibu memandangkan Ibu memang tak makan langsung dari pagi. Cuma minum air yogurt. Ibu tak sangka akan lama macam ni sebab Ibu ingatkan cuma nak ambil bacaan tekanan darah. Ini dah tengahari pun masih belum settle. Nurse suruh Ibu makan di pantry. Ibu pun pergi ke pantry naik wheelchair, Ayah yang tolakkan. Ayoo..macam pesakit yang sangat sakit rasanya. Ayah belikan lauk sambal ayam dan kacang panjang goreng. Ibu makan dengan berselera, ditambah pula dengan teh O ais limau. Nyum nyum... Dan tiba-tiba, tanpa dipinta-pinta, makanan yang Ibu baru je kunyah tadi keluar balik! Ibu termuntah atas selipar Ayah yang kebetulan Ayah duduk di sebelah menemani Ibu. Banyak la pulak. Ayah dah gelabah. Dia keluar panggil nurse nak bagitau Ibu muntah. Sambil tu, dia pergi ke bilik air, cari mop dan dia mopkan muntah Ibu di lantai. Aduh, sedih pulak tengok. Kesian Ayah.

Selepas makan, Ibu dibawa ke depan. Ibu ingatkan Ibu ke hospital dengan Ayah, rupa-rupanya dengan ambulans. Tak pernah seumur hidup Ibu naik ambulans (tak pastilah waktu kecik).Naik je dalam ambulans, rasa perasaan yang lain macam. Rasa macam orang cedera parah pulak. Padahal Ibu yakin yang Ibu bukan sakit teruk sangat pun. Cuma tekanan darah je taknak bekerjasama dengan Ibu, hik3. Ayah tak ikut Ibu, dia balik rumah untuk ambil barang-barang Ibu. Sebelum memulakan perjalanan, tekanan darah ibu diambil, 143/96mmHg. Mak aii..tingginya!!!

Sepanjang perjalanan, nurse yang bawa Ibu tu memang cuak. Mungkin rezeki Ibu kot, dapat jururawat yang ambil berat. Entah macam mana, masa dalam perjalanan, Ibu muntah lagi. Bukan sekali, tapi tiga kali!! Masa kali pertama Ibu muntah dalam ambulans tu, terus dipasangkan siren. Masa bunyi siren tu lagilah Ibu rasa cemas. "Eh, aku dah nak mati ke?". Haha. teruk betul Ibu kan? Driver ambulans tu toksah kira la. Masa tak bunyi siren dah laju, masa siren dah berbunyi lagi la dia pecut. Mana lah Ibu tak muntah. Hihi. Dah la laju, melambung-lambung pulak. Haii..memang macam tu rupanya keadaan dalam ambulans. Selepas Ibu muntah, nurse cepat-cepat ambil bacaan tekanan darah Ibu guna alat kat ambulans tu. Error la pulak. Pakai alat manual, rosak la pulak. Macam-macam dugaan. Setibanya di hospital, mereka ambil lagi tekanan darah Ibu, 132/53mmHg. Turun la sikit.

Keluar dari ambulans, Ibu ditolak diatas stroller sehingga ke Dewan Bersalin. Masa kena tolak atas stroller tu, Allah je yang tau perasaan Ibu. Rasa nak gelak pun ada, hihi. Memang Ibu tak pernah terbayangkan akan lalui semua perkara ini, hari ini.

Sampai je kat Dewan Bersalin, tekanan darah Ibu diambil lagi. Ibu disuruh salin uniform pink. Hihi. Selepas tu, kena buat CTG dan USG. Masa buat CTG, doktor kata bacaan cantik, takde masalah kat jantung Adik dan Ibu. Masa buat USG, pun ok. Dari situ Ibu dapat tau yang berat Adik masa tu 2995g. Wah, dekat 3 kg tu. Selesai semua, Ibu disuruh tunggu sementara daftar wad. Alamak, masuk wad rupanya. Ibu buat-buat tanya nurse, dia pun jawab sambil tersenyum, "dah pakai uniform pink ni, comfirm duduk wad". Haiyaa..


29 Mei 2014 [Minggu 37]

Sehari semalam duduk kat wad amatlah membosankan. Ayah la yang kesian, kerja banyak tertangguh sebab Ibu. Pagi ni Doktor datang melawat seperti biasa. Doktor kata Ibu boleh discharge hari ni, dan repeat ambil tekanan darah kat KK selang sehari, sebab Ibu disahkan ada Gestational Hypertention. Dan sekiranya Ibu belum melahirkan, minggu ke 39 iaitu pada 15 Jun 2014, Ibu kena serah diri kat hospital untuk iOL (induced on labour), dengan kata lain, 'dipaksa bersalin'. Dan bermula hari ini, Ibu dah mula makan ubat darah tinggi, Tab. Labetolol Hydrochloride 100mg.

31 Mei 2014 [Minggu 37]

Ibu ke KKIA KKPJ untuk check BP. Alhamdulillah, BP Ibu ok, 130/80mmHg.

2 Jun 2014 [Minggu 38]

Ke KKPJ lagi. Harini banyak benda nak check. Alhamdulillah, tiada kehadiran albumin dan gula dalam urin Ibu. Berat Ibu 77.2kg, naik 400g dalam masa seminggu. Hek3. Tinggi rahim 38 cm dan kedudukan Adik cephalic. Denyut jantung Adik 130 denyutan/minit. Semuanya ok. Cuma yang tak ok nya, tekanan darah Ibu. Tiba-tiba la pulak dia buat hal. Penat menunggu barangkali. 140/90mmHg. Huhh..tinggi. Ibu kena rehat sejam. Aduhai..Kesiannya kat Ayah, nak tunggu Ibu berjam-jam kat klinik, sampaikan kerja dia tak terbuat. Setelah direhatkan pun, tekanan darah Ibu tak turun banyak, hanya 140/80mmHg. Dan bermula hari inilah Ibu kena check BP setiap hari, bukan selang sehari dah. Aduyaii...

3 Jun 2014 [Minggu 38]

Tekanan darah:
Kanan: 140/90mmHg
Kiri: 138/80mmHg

Direhatkan 1 jam:
Kanan: 130/70mmHg
Kiri: 130/80mmHg

4 Jun 2014 [Minggu 38]


Tekanan darah:
Kanan: 130/90mmHg
Kiri: 120/70mmHg 

5 Jun 2014 [Minggu 38]


Tekanan darah:
Kanan: 150/80mmHg
Kiri: 140/80mmHg

Direhatkan 1 jam:
Kanan: 130/70mmHg
Kiri: 120/60mmHg

Jumpa Doktor untuk USG. Estimated Fetal Weight masa tu, 2760g.

6 Jun 2014 [Minggu 38]

Tekanan darah:
Kanan: 150/90mmHg
Kiri: 130/80mmHg

Direhatkan 1 jam:
Kanan: 140/70mmHg
Kiri: 140/80mmHg

Tinggi rahim: 36cm
Kedudukan/Presentasi Janin: Cephalik
Jantung Janin: 146 denyutan/minit

7 Jun 2014 [Minggu 38]

Tekanan darah:
Kanan: 140/80mmHg
Kiri: 140/90mmHg

8 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 140/80mmHg
Kiri: 140/80mmHg

9 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 140/80mmHg
Kiri: 130/80mmHg

10 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 130/70mmHg
Kiri: 130/70mmHg

11 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 140/80mmHg
Kiri: 130/70mmHg

12 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 140/80mmHg
Kiri: 120/80mmHg

13 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 150/90mmHg
Kiri: 140/90mmHg

Kaki Ibu ada sedikit pembengkakan. Denyutan jantung Adik, 136 denyutan/minit.  Misi cakap kedudukan Adik songsang. Alamak. Ibu dah risau. Terus dia rujuk doktor. Terpaksa buat USG lagi. Dr tengok kat skrin, dia kata tak songsang. Kepala kat bawah. Fuhh..Alhamdulillah, Takut jugak Ibu tadi.

14 Jun 2014 [Minggu 39]

Tekanan darah:
Kanan: 130/70mmHg
Kiri: 130/80mmHg


15 Jun 2014 [Minggu 40]

Ibu terpaksa serah diri kat Hospital Segamat.  Terpaksa bersalin sebelum EDD untuk mengelakkan sebarang komplikasi kepada Ibu/Adik. Walau langsung takde rasa sakit nak bersalin, tapi terpaksa pergi jugak la. Buat USG. Alhamdulillah, Adik dalam keadaan baik. Dr tengok 'jalan' masih belum terbuka, jadi Dr tolong untuk bukakan jalan. Kemudian, Dr panggil Ayah untuk tandatangan surat izin IOL (induced on labour). Dr terangkan segalanya tentang IOL ni, tentang kesakitannya, tentang segalanya la. Ayah izinkan tapi dia siap bagi syarat, "Saya taknak doktor/misi pelatih yang sambut anak saya nanti, saya taknak isteri saya kena jahit banyak kali. Saya nak doktor yang betol2 doktor dan misi yang berpengalaman je yang ada nanti". Doktor senyap sekejap.Haha. Dia setuju dan dia suruh Ayah cakap semula tentang hal tu bila Ibu dah nak bersalin nanti. Sebab dia takut bila Ibu bersalin nanti, bukan waktu di on call.

16 Jun 2014 [Minggu 40]

0711hrs: Buat CTG untuk yang ke berapa kali ntah. Tapi buat kat katil je, tak pergi kat labour room. Sepatutnya kena induced, tapi doktor tak datang-datang. Ada meeting kot. Dalam tengahari, ada pulak budak medik dari kolej medik datang interview. Hayoo. Takde orang lain ke nak pilih. Nak taknak, kena bagi kerjasama jugak la, sebab Ibu pun pernah jadi student dan tau macam mana rasa kalau orang yang kita nak interview tu taknak bagi kerjasama. memang hangin rasanya. Haha. Makan sarapan nasi goreng specially cooked by Ayah. Nyummyy...

1603hrs: Check jalan. Bukaan serviks 1.5cm. Doktor kata tak perlu masuk prostin lagi sebab kes semi-urgent. Fuhh. lega.

2230hrs: Rasa sakit2 dari pinggang ke lutut. Tapi on-off. Taktau tu sakit apa. Tak boleh lelap malam tu. Asyik ke bilik air je, terkencing. Minum air pun bukan main banyak. Berapa kali ntah mintak misi top-up kan air. Hihi. Baring tak kena, duduk tak kena, mengiring je boleh. Tu pun masih rasa sakit. Mengadu kat misi, misi cakap biasa lah tu. Bila tengok kat CTG, kontraksi tu ada, tapi masih slow. Satu kontraksi dalam masa 10 minit dan jangkamasa kontraksi tu 15 saat.

17 Jun 2014 [Minggu 40]

0729hrs: Bukaan serviks 2 cm. Suppositories (pil Prostaglandin) di masukkan kedalam faraj. Rasa seram sejuk jugak masa Dr masukkan tu. Huhu. Tujuan tablet ni dimasukkan adalah untuk melembutkan servik akan mencetuskan kelahiran bayi pada hari berikutnya. Ini bergantung kepada individu jugak. Ada yang masuk sebiji prostin pun dah rasa sakit nak beranak, ada orang, walau dah masukkan 3 biji pun masih belum rasa sakit nak bersalin tu.Kena puasa sejam selepas masuk ubat. Pakar datang melawat. Dia pegang perut. Dia anggarkan Adik 3.4kg lebih. 1323hrs: Ada makcik sebelah tu melawat anak dia. Dia pegang perut Ibu. Dia kata cantik kedudukan, dan kepala Adik dah masuk (enggaged). Dia rasa belakang Ibu kat kawasan pinggang, rasa sejuk dan seakan berair. Dia kata dah tak lama dah ni. Dia rasa betis plak. Panas lagi. Dia kata, kalau betis dah sejuk, dah dekat sangat la nak bersalin tu. Hihi

1405hrs: Misi panggil suruh turun ke Klinik Pakar. Ayoo. Kenapa pulak. Misi cakap sebab pakar check tadi, Adik besar. Dia nak scan semula Adik besar mana sebenarnya. Buat USG, baby 3.8kg ++. Dr bagi pilihan, sama ada nak bersalin normal / caesarian. Ibu bimbang. Kenapa Dr sampai bagi pilihan. Teruk sangat ke kes Ibu ni? Dr kata Adik besar. Anggaran ni biasanya ± 0.5kg. Kemungkinan Adik boleh jadi 4kg lebih. Berisiko kalau bersalin normal sebab Ibu ada darah tinggi dan kelahiran sulung. Ibu tak dapat nak bagi keputusan serta merta. Ibu kata Ibu nak bincang dengan Ayah dulu.Hihi

1430hrs: Dah mula rasa sakit yang amat.

1720hrs: Ajak Ayah jalan-jalan sekitar wad. Orang cakap kalau banyak berjalan, 'jalan' cepat bukak. Walau dah start rasa sakit2 dari pinggang sampai peha, tetap gagahkan jugak. Ayah tak jemu melayan kerenah Ibu. Setia memimpin Ibu kemana sahaja asalkan tak jauh dari kawasan wad. Hihi. Balik semula ke dalam wad, rasa sakit yang amat. Ayah suruh rehat kat katil je. Pergi toilet, dah ade 'show' (darah campur lendir). Ya Allah, tak lama lagi aku bakal melahirkan? Tunjuk kat Ayah, dia terkejut.

18 Jun 2014 [Minggu 40]

Pagi tu Ayah datang awal ke wad. Dia terpaksa ke Palong atas urusan kerja.Sakit dah makin kerap. Dah ada 2 kontraksi dalam 10 minit. Petang tu ajak Nenda pulak jalan-jalan sekitar wad. Sakit sangat. Rasa macam lutut nak tercabut. Tapi nak jugak jalan, sebab rasanya dengan berjalan, sakit tu kurang la sikit kot. Hihi.

2015hrs: Sakit sangat. Call Nenda. Nenda masuk dengan Atok. Dr check jalan. Dah 4 cm. Misi suruh makan kenyang-kenyang dulu untuk tenaga kat labour room nanti. Cuma selera nak makan roti dengan air coklat jer.

2115hrs: Ditolak masuk ke labour room guna wheel chair. Tengok sekeliling. Mencari kelibat Ayah. Sedih. Dia tiada. Dia belum balik dari Palong lagi. Berdoa banyak-banyak dalam hati semoga dia ada di sisi semasa Ana bersalin nanti.

2215hrs: Dr masuk. Dia pecahkan air ketuban .

Amniotomi/Artificial rupture of the membranes(AROM)

Doktor pecahkan air ketuban secara tiruan dengan menggunakan cangkuk nipis,steril dan plastik. Ia digunakan mencetus air ketuban pecah menyebabkan kepala bayi bergerak di dalam servik dan kontraksi menjadi lebih kuat.Ini disebabkan oleh air ketuban pecah boleh merangsang hormon Prostaglandin dan mempercepatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi keluar. 

Doktor lain datang. Dia kata 4 jam lagi dia akan check bukaan jalan (bermakna jam 2.15am) dan sekiranya jalan masih belum 10cm, akan tunggu lagi 4 jam (6.15am) dan sekiranya masih belum buka juga, pukul 8 am Ibu terpaksa bersalin secara caesarian. Doktor kata bukaan jalan makan masa sekurangnya sejam untuk 1 cm bukaan. Jadi mereka jangka mungkin bersalin dalam 6 am ke atas. Mengadu dahaga dengan nurse. Nurse kat KK ada cakap, kat labour room tak boleh makan/minum. kalau 8 jam kita kat situ, 8 jam la kita tak makan/minum. Takut kita terberak/terkencing pulak. Ibu cuba nasib je mintak air dengan misi. Eh, bagi pulak dia. Satu mug dia bagi. Hihi. Tak lama lepas tu Dr masuk, Dr kata nak air Milo tak? Ibu apa lagi. Cakap je la nak. Haha. Alhamdulillah, rezeki.

19 Jun 2014 [Minggu 40]

1230hrs: Tengah menahan sakit yang amat sangat. Tak boleh duduk. Cuma mengiring dan baring je. Rasa nak larikan diri dari labour room. Menyesal pegi labour room awal2. Kalau duk kat wad, maybe boleh berjalan-jalan atau duduk tuk kurangkan kesakitan. Dalam tengah menahan sakit tu, nampak kelibat seseorang yang dirindu! Ayah!! Ya Allah, tak sangka betul. Kalau ikutkan prosedur, suami mana boleh masuk, melainkan kalau isteri betul2 tengah nak bersalin. Ibu tanya macam mana dia boleh masuk, dia kata nurse bagi tengok sekejap. Sementara dia dalam tu, dia tenangkan Ibu, tolong urutkan kaki dan belakang Ibu. Nurse masuk, di bubuh ubat dalam drip. Ubat tahan sakit katanya. Tak lama kemudian, Ayah terpaksa keluar. Sebelum dia keluar, Ibu ada mengadu dengan dia. Tak tahan sangat rasanya sakit ni. Rasa macam nak operate je. Dia tenangkan Ibu. Dia kata jangan putus asa. Sakit ni penghapus dosa.

0115hrs: Rasa mengantuk sangat bercampur dengan sakit. Ana tidur untuk hilangkan rasa sakit tu. Hihi. Eh, boleh pulak terlelap kan dalam sakit tu. Hihi

0210hrs: Sakit yang memuncak. Rasa punggung nak tertanggal! Kebetulan misi lalu, mengadu kat nurse yang rasa sakit gila. Nurse datang tengok. Terus dia panggil Dr. Dr sepatutnya datang nak check bukaan jalan, tapi dah jadi lain. Dr kata kepala baby dah nampak, bukaan 9.5cm.

0215hrs: Dr kata jangan teran lagi, cuba kawal pernafasan. Tiba-tiba Ayah masuk. Dia terus ke sebelah kanan Ibu. Tangan kanannya memegang tangan kanan Ibu, manakala tangan kirinya mengusap kepala Ibu. Ibu tak henti-henti membaca doa Nabi Yunus. Sejak masuk labour room, tak putus-putus Ibu baca doa tu. Dengan harapan Allah mudahkan segala urusan Ibu. Dr suruh teran. Ibu guna sehabis tenaga untuk meneran. Doktor kata kepala dah hampir keluar. Dia puji, pandai! Haha. Dia suruh teran lagi, kali ni dia suruh teran lama-lama, jangan putus. Sebab tersekat kat hidung Adik (mancung kot.haha), takut Adik lemas. Ibu pun teran selama dan sekuat yang boleh.

0225hrs: Alhamdulillah, dalam 3 kali teran, Ibu melahirkan seorang khalifah di dunia ni. Semua happy masa tu. Ayah bisik kat Ibu, "perempuan, Sayang", sambil tersenyum gembira. Selepas potong dan kepit tali pusat, nurse letak baby tu kat dada Ibu. MasyaAllah, tak tau nak cakap perasaan masa tu. Allahuakbar! Subhanallah. Sangat indah ciptaan Allah di depan Ibu masa tu. Terasa kulit Adik menyentuh kulit Ibu. Nurse tanya, 'Ni anak awak, Tengok, laki ke perempuan?". Ibu jawab, "perempuan". Lalu dia ambil dan bawak baby keluar untuk mandikan serta buat penilaian seterusnya.

Ibu rasa nak pitam selepas uri dikelurkan. Darah tak berhenti-henti keluar. Nurse menghalang Ibu dari tidur. Tekanan darah Ibu diambil. Tekanan darah Ibu jatuh menjunam. Tukar 3 jenis alat uji tekanan darah, keputusannya masih sama. Hypotension! Penglihatan Ibu makin kabur. Ibu rasa sampai situ je hayat Ibu. Doktor cepat2 suruh nurse bagi Milo kat Ibu. Ibu dehydrate. Muka dah pucat. Selepas minum Milo, Ibu rasa segar sedikit. Selepas beberapa lama, tekanan darah diambil kembali. Alhamdulillah. tekanan darah Ibu kembali normal.

Alhamdulillah, Allah masih lagi bagi Ibu peluang hidup di buminya ini dan membesarkan Adik. Berat Adik ketika dilahirkan adalah 3.5kg dan panjang Adik 50 cm. Selepas Adik mandi, Ayah azankan Adik, tapi Ibu tak dengar masa tu. Ayah dan Adik kat tempat lain.

Dan dengan rasminya,
Ayah dan Ibu dah bergelar parent!
Ibu bapa kepada seorang puteri anggun bernama
DELISHA SHAKIRAH!
Semoga Delisha Shakirah suka akan nama yang kami berikan.
Berkat nama itu, semoga Adik membesar menjadi seorang gadis yang riang gembira dan menjadi muslimah yang sentiasa bersyukur.

4 comments:

  1. haiiiii....mana sambungan ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamak..nak sambung ape lagi erk? Dah tamat da la jurnal 9 bulan kehamilan..hihi

      Delete
  2. x de sambungan lg ke ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sambungan? Ada...tp jurnal motherhood la pulak kot...tapi ntah bila la berkerajinan nak buat...=P

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...