Wednesday, February 08, 2012

Biarkan Dia Menangis.....(3)




KRINGGG!! KRINGGG!! Bunyi telefon rumah yang berdering beberapa kali menandakan panggilan masuk. Bunyi bising deringan telefon itu mengejutkan Jasmin dari lena. Terpisat-pisat matanya bangun dari pembaringan. Kepalanya masih berdenyut-denyut namun digagahkan jua kakinya mencapai ganggang telefon.

"Assalammualaikum". Sapa Jasmin dengan nada lemah sebaik sahaja mengangkat ganggang telefon.

"Waalaikumussalam. Kenapa lama sangat angkat telefon? Ada apa-apa masalah je Min? Lain macam je Abang dengar suara Min", sapa Irsyad disebalik corong telefon.

"Err, maaf Bang. Min pening kepala sangat tadi pastu tertidur, abang call ni baru Min tersedar", jelas Jasmin.

"Laa..kan Abang suruh Min pergi klinik tadi. Kalau Abang ada kat rumah sekarang, memang Abang nak hantar Min ke klinik, tapi Abang kan out-station. Malam nanti mungkin baru Abang sampai. Min pergi ke klinik ye? Kalau tak larat drive, Min naik teksi je yer?", pujuk Irsyad.

“Ala, tak payah pergi klinik lah,Bang. Min dah sapu minyak cap kapak dah tadi, Panadol pun dah telan. Nanti okey lah tu. Maybe jetlag travel ke Sabah hari tu tak habis lagi kot”, ujar Jasmin.

“Eh, jetlag apanya, bukan pergi Sepanyol pun, Sabah je kan! Dah, jangan degil cakap Abang. I don’t want the same thing happened twice!”, tegas Irsyad sambil teringat peristiwa Jasmin pening-pening dan muntah-muntah sebaik sahaja sampai ke rumah setibanya dari Sabah tempoh hari. Apabila diajak ke klinik, Jasmin berkeras mahu berehat di rumah sahaja.

“Baiklah. Nanti Min telefon teksi ke sini ye. Jangan emosional sangat. Dah la Min rindu ni, tiga hari tak jumpa Abang”. Sungguh sayu Jasmin menuturkan kata.

“Eh, Abang bukan marah la Sayang. Abang bimbang apa-apa jadi kat Min je. Pergi klinik tau. Ok la ye, Abang ada kerja nak settle kan ni, nanti Abang call Min balik. Assalamualaikum isteriku. Jumpa malam ni!,” ujar Irsyad lembut.

“Waalaikumussalam Bang. Jaga diri. Bye”, balas Jasmin sambil meletakkan ganggang telefon.

********************

Jasmin menunggu kepulangan Irsyad dengan penuh sabar, hatinya melonjak kegembiraan. Wajahnya menguntumkan senyuman yang amat manis sedari pulang dari klinik tadi. Namun ternyata Irsyad tidak pulang ke rumah pada malam itu. Ada kes kecemasan katanya. Esok baru balik. Dia menanti penuh hampa. Dia tidak mahu memberitahu Irsyad tentang berita gembira ini melalui corong telefon. Dia mahu melihat sendiri apa reaksi Irsyad apabila dia memberitahu berita itu.

Jasmin mengerling jam di dinding di ruang tamu. Sudah jam 12.30 tengah hari namun kelibat suaminya masih belum kelihatan. Dia mengeluh perlahan. Kepalanya masih pening. Dia melangkah dari sofa untuk melangkah ke kamar tidurnya untuk berehat. Ketika dia baru hendak memejamkan mata, dia terdengar pintu bilik tidurnya dikuak.

“Assalammualaikum, Sayang. Eh, kenapa berselubung tengah hari buta ni? Isteri kesayangan Abang tak sihat lagi ke? Doktor cakap apa semalam? Maaflah, Abang tak sempat nak call, kerja banyak sangat semalam.” Irsyad serba salah. Dia kasihan melihatnya terbaring dan berselimut begitu.

“Tak apalah Bang. Min faham Abang sibuk. Sayang okey je Bang. Kat luar tu kan hujan, tu yang Min pakai selimut ni. Sejuk”, balas Jasmin ringkas.

“Doktor cakap apa? Pening macam mana? Dah ok?” soal Irsyad lagi sambil meraba dahi isterinya. Terpancar riak kerisauan di wajah Irsyad.

“Doktor cakap, Min kena buatan orang”, balas Jasmin.

“Biar betul Sayang ni? Macam mana Doktor tu boleh tau Min kena buatan orang? Min jumpa doktor ke dukun?”. Terkejut Irsyad mendengar jawapan Jasmin.

“Buat apa Min nak tipu Abang. Dosa. Tak masuk syurga! Min pergi jumpa doktor la. Abang la ni yang buat Min sakit.” Jasmin sengaja membuatkan Irsyad tertanya-tanya.

“Ha? Abang yang buat Min sakit? Takkan lah Abang nak buat Min sakit. Baru tiga hari Abang tak balik, takkan lah Min terus jatuh sakit. Ke, pasal jin yang tok bomoh cerita hari tu?” duga Irsyad.

“Eh, Abang ni. Suka-suka hati je tuduh-tuduh jin. Mana lah dia tak marah kalau benda yang dia tak buat, dia kena tuduh pulak!”, tingkah Jasmin.

“Dah tu, kenapa? Apa salah Abang kat Min? Apa Abang dah buat sampai Min sakit-sakit macam ni?”, soal Irsyad inginkan kepastian.

“Cuba Abang fikir betul-betul apa yang Abang dah buat kat Min”, balas Jasmin sambil melentokkan kepalanya ke dada Irsyad.

Irsyad terdiam. Masih memikirkan apa perbuatannya terhadap Jasmin hingga Jasmin jatuh sakit. Seingat dia, tak pernah dia berlaku kasar kepada isterinya.

“Tahu la penat, baru balik out station, tapi takkanlah Abang tak dapat teka lagi.” Jasmin ketawa sambil menggosok-gosok perutnya. Wajah Irsyad nampak begitu terkejut. Mulut Irsyad sedikit terlopong.

“Maksud Min….? Ya Allah, betul ke ni? Betul ni? Abang bakal jadi ayah?” Irsyad yang tadi duduk di birai katil bersama-sama Jasmin terus berdiri memandang Jasmin. Entah kenapa terasa lembap sekali otaknya nak memproses maklumat. Mungkin kepenatan agaknya.

Jasmin mengangguk perlahan sambil tersenyum menampakkan barisan gigi yang putih bak mutiara.

Tiada kata lagi yang mampu keluar dari mulut Irsyad. Kuntum kegembiraan mengembang di hatinya sekaligus menghalau debaran yang memukul dadanya sebentar tadi. Irsyad terus menarik Jasmin ke dalam pelukannya.

“Thanks sayang. Dah lama kita tunggu saat ni kan. I love you…”. Ubun-ubun Jasmin dikucup mesra. Air matanya terasa mahu menitis. Saat yang teramat bahagia. Lebih bahagia dari saat mereka diijabkabulkan.

********************

Percutian mereka ke Sabah tempoh hari benar-benar bermakna. Mana tidaknya, sebaik sahaja sebulan pulang dari Sabah, Jasmin disahkan mengandung tiga minggu. Irsyad gembira bukan kepalang. Kini, usia kandungan Jasmin sudah menjangkau 17 minggu.

“Ini berkat berdoa kat makam wali keramat tempoh hari barangkali.” Irsyad bermonolog sendiri.

Tapi, ada sesuatu yang menggusarkan fikiran Irsyad. Sejak Jasmin berbadan dua, sikapnya berubah 360°. Jasmin sering bad mood. Irsyad faham, mungkin pembawaan budak. Yang paling merungsingkan Irsyad, Jasmin sukar untuk tidur malam, sering mengadu sakit sana sini. Tapi, setelah terlena, dia sering mengigau dan meracau dalam tidur pula. Bila dikejutkan, dia seakan orang kebingungan, seolah-olah antara sedar dan tidak.

Jasmin juga selalu mengadu yang dia sering terdengar bunyi-bunyi yang menakutkan seperti bunyi orang mengetuk tingkap atau kadang-kadang bunyi orang mencakar dinding. Kadang-kadang Jasmin terlihat kelibat kanak-kanak kecil berlarian di dalam rumah. Sejak mengalami peristiwa-peristiwa menyeramkan itu, Jasmin menjadi seorang pendiam padahal sebelum ini, Jasmin merupakan isteri yang banyak cakap, suka buat kelakar, dan suka menyakat Irsyad. Jasmin juga akan merasa ketakutan bila di tinggalkan seorang diri di rumah walaupun hari siang. Sekiranya Irsyad sedang mengaji, Jasmin akan meraung-raung kesakitan seolah-olah ada benda yang memasuki ke badannya.

Irsyad susah hati dengan kesihatan Jasmin yang makin merosot sejak mengandung. Atas nasihat ibunya, Irsyad pun membawa Jasmin berubat. Kali ini dia kembali lagi kepada Tok Daik, dukun yang diperkenalkan Khairul tempoh hari. Irsyad menceritakan segalanya. Dia memohon agar Tok Daik dapat membantu menyelamatkan isteri dan anak dalam kandungan Jasmin itu. Dia tidak mahu sebarang kecelakaan berlaku kepada mereka berdua.

Setelah Irsyad menceritakan masalahnya itu, Tok Daik memulakan perubatannya. Irsyad gerun melihat isterinya menangis, berteriak dan meronta seperti orang kepanasan apabila Tok Daik membacakan bacaan potongan ayat al Quran ke dalam mangkuk yang berisi air itu. Kemudian, Tok Daik menyuruh Jasmin meminum air tersebut. Setelah habis meneguk air tersebut, Jasmin kelihatan seperti orang bingung. Seakan tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya sebentar tadi.

“Pakai tangkal ni. Jangan tanggalkan. Tangkal ini akan mengelakkan jin-jin tersebut mengganggu kamu”, ujar Tok Daik sambil menghulurkan seutas tali berwarna hitam.

“Satu lagi, gantung botol ini di pintu utama rumah kalian. Jangan biarkan orang lain melihatnya, jika tidak, isteri kamu akan dalam bahaya”, beritahu Tok Daik serius sambil menghulurkan satu botol kecil kepada Irsyad. Lalu, Irsyad mengambil botol kecil yang di dalamnya terdapat gulungan kain kuning yang dia sendiri tidak tahu apa kandungan dalam balutan kain kuning itu.

Setelah pulang dari berjumpa Tok Daik dan melakukan apa yang disuruhnya, Jasmin kelihatan beransur pulih. Dia tidak lagi mengadu terserempak dengan kelibat-kelibat yang menakutkan. Dia juga sudah kurang mengigau dalam tidur. Cuma kadang-kadang sahaja, ketika tidur Jasmin bercakap-cakap yang Irsyad sendiri tidak faham butir bicaranya. Tapi itu mungkin simptom biasa bagi seseorang yang tidur dalam keadaan yang terlalu letih.

********************

Sembilan bulan yang sukar telah berlalu dan Jasmin selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Irsyad adalah orang yang paling gembira. Kehadiran bayi comel itu menambahkan lagi rasa cintanya kepada Jasmin. Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri untuk menjaga Jasmin dan anaknya ini dengan sebaik mungkin, dengan penuh kasih sayang.

Tidak putus-putus ucapan selamat dan tahniah diberikan oleh saudara mara serta sahabat handai mereka. Semua memuji akan keelokan wajah bayi mereka. Ada yang kata hidungnya seperti Irsyad, ada yang kata pipi bayi yang tembam itu saling tak tumpah seperti Jasmin. Mereka berdua tersenyum bangga mendengar pujian teman-temannya.

Memang tidak dapat dinafikan, bayi yang dilahirkan itu sangat comel. Pipinya kemerah-merahan seperti ada sekuntum mawar berputik segar pada pipinya, keningnya terukir lembut bagaikan lalang yang di basahi embun, matanya luas dan bercahaya umpama sebuah tasik yang disinari cahaya matahari di waktu pagi dan bibirnya merah bak delima merekah. Irsyad dah Jasmin sepakat memberi hadiah pertama buat anak mereka yang baru melihat dunia itu dengan nama Juwita Nur Izzah. Semoga puteri yang dikurniakan ini bakal mempunyai peribadi yang mulia serta mampu menjadi penghibur mereka berdua.

********************

Comments
0 Comments

0 0 mEnGomEn:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...